Salah, Liverpool sukar dibendung - Utusan Malaysia

Salah, Liverpool sukar dibendung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Mohamed Salah muncul pemain pertama Liverpool meledak gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut ketika membantu Reds menumpaskan Atletico Madrid 3-2 pada aksi Liga Juara-Juara penuh dramatik awal pagi tadi.

Bintang Mesir itu membuka jaringan seawal minit kelapan sebelum menyudahkan  penalti di minit ke-78 untuk membolehkan Liverpool mengungguli Kumpulan B dengan sembilan mata maksimum.

MOHAMED Salah meraikan gol pembukaan Liverpool.

Liverpool bermula garang di Stadium Wanda Metropolitana apabila mendahului 2-0 selepas Naby Keita melakukan rembatan voli untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-13.

NABY Keita (kanan) meraikan jaringan kedua Reds bersama Trent Alexander-Arnold.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Atletico memperkemaskan serangan dan berjaya menembusi benteng pasukan pelawat.

Antoine Griezmann berjaya merapatkan jurang buat Atletico pada minit ke-20 sebelum meledak gol cantik, 14 minit berselang untuk tuan rumah menyamakan kedudukan 2-2.

ANTOINE Griezmann cemerlang meledak dua gol untuk Atletico Madrid menyamakan kedudukan 2-2.

Ketika tuan rumah bersedia untuk menggandakan asakan sebaik sahaja babak kedua bersambung, malang menimpa mereka apabila Griezmann dibuang padang pada minit ke-52.

Tindakan penyerang Perancis itu mengangkat kakinya terlalu tinggi dan mencederakan pemain lawan, Roberto Firmino menyebabkan pengadil tidak punya pilihan kecuali melayangkan kad merah.

BABAK kedua bertukar ‘malapetaka’ buat Atletico Madrid selepas Antoine Griezmann dilayangkan kad merah.

Beraksi dengan 10 pemain, Atletico masih berupaya memberi tentangan dengan melancarkan beberapa gerakan bahaya.

Bagaimanapun, kesilapan pertahanan mereka menjatuhkan Diogo Jota dalam kotak penalti membawa padah.

Liverpool dihadiahkan sepakan penalti dan Salah menyempurnakannya dengan tenang untuk memastikan tiga mata dibawa pulang oleh Reds.

Kemenangan ketiga berturut-turut dalam kempen Eropah pastinya menaikkan semangat Liverpool menjelang perlawanan ‘blockbuster’ Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United, Ahad ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya