Pas Perlis bertelagah: Pemimpin kalah pemilihan kena berlapang dada, kembali rapatkan saf - Utusan Malaysia

Pas Perlis bertelagah: Pemimpin kalah pemilihan kena berlapang dada, kembali rapatkan saf

ZAHID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti di Perlis perlu berlapang dada dan kembali merapatkan saf dalam kepemimpinan Pas negeri.

Ketua Penerangan Pas Perlis, Zahid Ibrahim berkata, teguran keras Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Pas negeri perlu diambil serius agar sebarang pertelingkahan segera dihentikan.

Katanya, Pas negeri mempunyai tugas lebih besar dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan sebelum memasuki gelanggang sebarang masalah perlu diselesaikan dalam semangat kekeluargaan.

“Kalah atau menang dalam pemilihan parti menjadi kelaziman dan ia perlu diterima dengan hati terbuka demi masa depan jemaah. Jangan jadikan ia sebagai titik perpecahan.

“Tumpuan seharusnya diberikan kepada gerak kerja bagi memastikan Pas berjaya mengekalkan kemenangan di Perlis. Pilihan raya semakin hampir dan ini masa untuk kita melipatgandakan usaha dan bekerja keras.

“Kembali rapatkan saf, penyatuan ukhuwah, fikrah seterusnya menggembleng tenaga bersama-sama bagi memastikan saf kita benar-benar bersedia untuk mempertahankan kemenangan pada pilihan raya kelak,” katanya di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, kedegilan segelintir pemimpin dan ahli Pas di Perlis yang terus bertelagah dan tidak mematuhi arahan parti mengundang teguran keras Muhammad Sanusi.

Muhammad Sanusi secara sinis juga menyifatkan segala ikhtiar untuk ‘merawat’ krisis dalaman kepimpinan Pas di negeri itu sudah menemui jalan buntu sehinggakan beliau secara berseloroh mengandaikan mereka menunggu masa untuk ‘dipanah lintaq’ (dipanah petir).

Kata Menteri Besar Kedah itu, amaran dan teguran telah pun disuarakan secara jelas pada muktamar tahun lalu, namun situasi di Perlis dilihat bertambah buruk.

Sementara itu, Zahid berkata, mengambil semangat muktamar, ia perlu dijadikan medan untuk semua di dalam parti bermuhasabah.

“Tema muktamar Pas tahun ini adalah penyelesaian Islam mengisi kemenangan dan bersesuaian dengan semangat itu, marilah kita semua bermuhasabah dan saling mengingatkan ahli parti agar terus bekerja menterjemahkan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

“Kita perlu segera mengetepikan sebarang persengketaan dan kembali fokus merangka gerak kerja yang berkesan. Tumpuan khusus mesti diberikan untuk memikat hati pengundi, terutama golongan muda yang bakal menjadi penentu kelangsungan pentadbiran pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×