MU cari jalan jinakkan Liverpool - Utusan Malaysia

MU cari jalan jinakkan Liverpool

PEMAIN Manchester United menjalani latihan di Pusat Latihan Aon, Carrington semalam menjelang pertemuan menentang musuh tradisi, Liverpool esok. - IHSAN MANCHESTER UNITED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER United dan Liverpool masing-masing mempamer aksi memikat dalam Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu menjelang pertemuan ‘dua musuh ketat’ itu pada aksi Liga Perdana Inggeris esok.

United bangkit daripada ketinggalan 0-2 ketika menumpaskan Atalanta 3-2 kelmarin, manakala Liverpool menang 3-2 ke atas juara Sepanyol, Atletico Madrid di tempat lawan.

Walaupun meraih keyakinan tinggi di pentas Eropah, namun United tidak mengharungi aksi baik dalam saingan domestik dan berharap kemenangan ke atas Atalanta mampu menjadi motivasi untuk menumpaskan Liverpool yang berada pada prestasi terbaik.

Red Devils kalah 2-4 kepada Leicester dalam aksi terakhir liga, selain diikat 1-1 oleh Everton dan tumpas 0-1 kepada Aston Villa.

Liverpool pula membelasah Watford 5-0 dalam saingan Liga Perdana pada 16 Oktober, diikat 2-2 oleh Manchester City (3 Oktober) dan seri 3-3 dengan Brentford dalam dua lagi perlawanan terakhir.

Pertemuan dengan Liverpool juga menjadi penentu kepada masa depan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus, dan mereka perlu memperkuatkan pasukan di semua posisi jika tidak mahu dihukum oleh Reds.

GANDINGAN Sadio Mane (kiri), Roberto Firmino (tengah) dan Mohamed Salah menjadikan jentera serangan Liverpool amat digeruni.

5 PERKARA UNTUK KALAHKAN LIVERPOOL

BENTENG PERLU KUKUH

SALAH satu sebab Manchester United bergelut adalah kerana prestasi pertahanan. Aaron Wan-Bissaka tidak cukup kuat, manakala Luke Shaw beberapa kali keluar dari posisi musim ini.

Kedua-dua pemain ini perlu berada pada prestasi terbaik apabila berdepan Liverpool. Gandingan Sadio Mane dan Mohamed Salah mampu melakukan kerosakan jika diberi ruang, jadi Shaw harus lebih berhati-hati di antara bek belakang.

Bagaimanapun jika dua serangan Reds berjaya dikekang, United mempunyai peluang cerah untuk memenangi perlawanan ini.

AARON WAN-BISSAKA

BERIKAN BOLA KEPADA FERNANDES

BRUNO Fernandes muncul pemain terbaik United di bawah Solskjaer. Dia memiliki kreativiti dan mencipta gerakan, selain keupayaan menjaringkan gol.

Perancang utama Portugal itu bagaimanapun sedikit berkarat sejak kembali dari rehat antarabangsa. Jika dia mampu mengulangi prestasi babak kedua ketika bertemu Atalanta, Fernandes kekal sebagai sumber terbaik United untuk produktif di depan gawang.

Solskjaer harus memastikan rakan-rakan sepasukan Fernandes mencarinya sekerap mungkin dan membiarkan maestro Portugis itu melakukan ‘magis’ di atas padang.

BRUNO FERNANDES

GUNAKAN POGBA SECARA EFEKTIF

Baik United dan Liverpool mempunyai pemain ‘kunci’ dalam pasukan. Paul Pogba antara ‘kunci’ Red Devils.

Bintang tengah Perancis itu cukup berpengaruh dalam membantu kebangkitan United ketika berdepan Atalanta.

Biarpun dikritik hebat ketika tewas 2-4 kepada Leicester, namun dengan tujuh gerakan gol yang dilakukan dalam Liga Perdana, dia nyata mampu menjadi watak penting buat United apabila berdepan Liverpool.

PAUL POGBA

SERANGAN BALAS YANG ‘KEJAM’
UNITED mungkin tidak mempunyai identiti di bawah Solskjaer, namun seperkara yang pasti tentang Red Devils, mereka memiliki kepantasan luar biasa dengan adanya pemain seperti Mason Greenwood, Marcus Rashford dan Jadon Sancho.

Benteng Liverpool diketahui agak rapuh apabila diserang balas. Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson cenderung terkeluar dari posisi kerana terlalu ghairah menyerang, situasi yang boleh dimanfaatkan United.

Red Devils telah menunjukkan kemampuan ke atas Atalanta. Sekiranya mereka tampil dengan cara sama menentang Liverpool, mereka mempunyai peluru untuk menyakitkan Reds esok.

TRENT ALEXANDER-ARNOLD

TURUNKAN FRED, MCTOMINAY DALAM KESEBELASAN UTAMA
FRED berada di bawah pemerhatian musim ini kerana sering tidak konsisten dan kurang produktif dalam serangan. Scott McTominay pula dianggap gagal melakukan hantaran yang kemas.

Begitupun, Fred dan McTominay adalah pilihan terbaik untuk menahan serangan Liverpool. Ketika menentang Leicester, kombinasi Nemanja Matic dan Pogba yang diletak di bahagian tengah tidak mempunyai kawalan sama sekali.

Fred dan McTominay mungkin tidak begitu menyumbang kepada serangan, namun memberi keseimbangan untuk United bertahan dengan baik. Berdepan trio serangan Liverpool yang dianggap terbaik dalam Liga Perdana ketika ini, keutuhan benteng amat diperlukan.

FRED (kiri) dan Scott McTominay.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.