Liverpool lebih menggerunkan - Utusan Malaysia

Liverpool lebih menggerunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak menegaskan, kemenangan ke atas Liverpool musim lalu tidak memberi erti kerana yang penting bagaimana mereka beraksi apabila menerima kunjungan gergasi Liga Perdana Inggeris itu di pentas elit Eropah sekali lagi esok.

Reds mengharungi aksi yang sempurna dalam dua perlawanan pertama Liga Juara-Juara dengan menang 3-2 ke atas AC Milan dan membenam Porto 5-1 di tempat lawan.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu juga berlepas ke Madrid dengan motivasi tinggi selepas membelasah Watford 5-0 dalam aksi terakhir domestik yang me­nyaksikan Roberto Firmino meledak hatrik dan Mohamed Salah berada di kemuncak prestasi.

Juara La Liga, Atletico pula seri 0-0 dengan Porto dalam aksi pertama Kumpulan B, selain menewaskan Milan 2-1. Mereka me­numpaskan Barcelona 2-0 pada perlawanan terakhir La Liga.

JAN OBLAK

Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak Atletico mengecewakan Liverpool menerusi agregat 4-2 di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, Mac lalu.

“Banyak sudah berubah sejak pertemuan terakhir. Liverpool makin mantap tetapi kami juga menunjukkan peningkatan de­ngan penambahan pemain, termasuk kepulangan semula (Antoine) Griezmann,” kata Oblak.

Selain bakal menurunkan bekas bintang Liverpool, Luis Suarez, Atletico menerima berita baik apabila bek tengah, Jose Gimenez sudah pulih daripada kecederaan, begitu juga Geoffrey Kondogbia.

Reds pula kembali mendapat Alisson dan Fabinho yang disisih­kan daripada pertemuan dengan Watford kerana baru kembali dari tugasan bersama Brazil.

LUIS Suarez (tengah) menjalani latihan bersama pasukan Atletico Madrid di Madrid semalam menjelang pertemuan menentang Liverpool. – AFP

SALAH ATAU SUAREZ LEBIH MENYINAR?

Salah dan Suarez yang berada pada prestasi terbaik menjadi sandaran serta ancaman utama di Wanda Metropolitano.

Suarez, 34, yang menyarung jersi Liverpool dari 2011 hingga 2014 meledak empat gol dalam La Liga dan satu gol pada kempen Liga Juara-Juara musim ini.

Salah, 29, dengan tujuh gol domestik muncul penjaring terbanyak Liga Perdana ketika ini, manakala di pentas Eropah dia sudah meledak tiga gol.

PEMAIN Liverpool menjalani latihan akhir di Melwood, England semalam dalam persiapan menghadapi Atletico Madrid. – AFP

Tambah menggerunkan Atletico, Firmino dan Sadio Mane juga kembali menemui sentuhan.

Ketika ditanya, siapa dijangka lebih menyerlah esok, Suarez atau Salah, legenda Manchester United, Rio Ferdinand membalas: “Saya pilih Mo Salah.”

Apa yang dilakukan sejak empat musim lalu sangat hebat, tetapi apa yang sedang dilakukan menakjubkan. Dia seronok untuk ditonton dalam bola sepak mo­den,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya