Sang Kancil kejutkan Lang Merah - Utusan Malaysia

Sang Kancil kejutkan Lang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Melaka United melakar kejutan menundukkan Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman malam ini, sekali gus merampas kedudukan pendahulu Kumpulan C, Piala Malaysia.

Tuan rumah bermula langkah kanan apabila membuka jaringan seawal minit keenam selepas Kpah Sherman mudah melepaskan rembatan ke gawang yang gagal dikawal kemas penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol awal itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat pasukan pelawat dengan mereka tampak mampu mengimbangi perlawanan selain sesekali turut mengancam kubu tuan rumah.

Usaha berterusan Melaka itu jelas membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi  pemain sayap, Sony Norde.

Gol itu terhasil setelah Norde membuat larian deras untuk berada di posisi tepat bagi menerima hantaran rakan sepasukan, Adriano Aparecido Narcizo, sebelum melepaskan rembatan deras yang gagal ditampan kemas penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tidak berhenti di situ, Melaka United kemudiannya menambah jaringan pada minit ke-38 apabila pemain tengah kebangsaan Filipina, Manual Ott menyempurnakan peluang terhidang untuk melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan Ifwat.

Ketinggalan 2-1, Kedah membuat pertukaran pada babak kedua dengan mengeluarkan Rabih Ataya dan Syazwan Zainon bagi digantikan oleh Muhammad Faizat Mohamad Ghazli serta Mohammad Fayadh Zulkifli.

Langkah itu bagaimanapun gagal membendung asakan pelawat yang hanya memerlukan tujuh minit pada babak kedua untuk mendapatkan gol ketiga, sekali lagi menerusi Manuel Ott yang membuat rembatan cantik dari luar kotak penalti.

Hanya setelah ketinggalan dua gol, barulah pemain-pemain Kesah yang dilatih Aidil Sharin Sahak seakan terbangun dari lena apabila mereka mula mempamerkan beberapa gerakan menyerang.

Satu daripadanya menerusi tandukan dibuat Kipre pada minit ke-58 yang mendapat hantaran dari kapten, Baddrol Bakhtiar. Usaha itu bagaimanapun gagal menghadirkan gol kedua buat mereka setelah Khairul Fahmi yang berjaya mendakap bola tersebut.

Melaka United sesekali turut mendatangkan ancaman antaranya menerusi rembatan deras Sony pada minit ke-68, namun percubaan itu diselamatkan Ifwat yang merebahkan badan ke kanan pintu golnya.

Peluang terbaik Kedah untuk menambah jarinngan hadir empat minit sebelum wisel penamat ditiup namun percubaan leret  Fayadh dari jarak dekat, ditampan menggunakan kaki oleh Khairul Fahmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya