Melaka selamat, Perak ke Liga Perdana - Utusan Malaysia

Melaka selamat, Perak ke Liga Perdana

PEMAIN Melaka United meraikan jaringan Sony Norde (empat, kiri) ketika menentang Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka United berjaya mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan selepas menewaskan Perak 2-1, sekali gus menyingkirkan Bos Gaurus ke Liga Perdana.

Kemenangan amat bermakna buat skuad Sang Kancil di Stadium Hang Jebat itu membolehkan mereka mengumpul 21 mata dan memperbaiki kedudukan ke tangga ketujuh.

Ketinggalan 0-1 hasil sepakan penalti pemain Perak, Sergio Aguero pada minit ke-30 tidak memadamkan semangat anak didik jurulatih, Zainal Abidin Hassan yang tangkas bangkit pada babak kedua.

Dua jaringan menerusi Manuel Ott pada minit ke-66 dan Sony Norde minit ke-79 sudah cukup memahat kemenangan buat MU.

PEMAIN Perak meraikan jaringan Sergio Aguero (kiri), namun kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila tewas 1-2  kepada Melaka United  malam ini. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Pasukan itu akan berdepan Kedah dalam aksi terakhir minggu depan di tempat lawan.

Perak pula mengiringi UiTM FC yang turut tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Seawal minit ke-10, tuan rumah nyaris meledak jaringan awal namun sepakan lambung Giovane da Silva dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol Perak sekadar melewati palang gol.

Tujuh minit selepas itu, peluang sekali lagi hadir buat MU untuk memecah kebuntuan tetapi hampa apabila sepakan percuma Norde dari jarak 25 meter menyingahi palang gol pelawat.

PEMAIN tengah Melaka United, Manuel Gelito Ott (kiri) bersaing dengan Mohd. Izzuddin Roslan dari Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD

Kesilapan pertahanan, Khairul Anwar Shahrudin menjatuhkan pemain Perak, Muhamad Syahir Bashah di kawasan penalti membawa padah.

Pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disepak masuk ketua pasukan,  Aguero menewaskan penjaga gol MU, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-30.

Tiga minit selepas itu pintu gol MU nyaris dibolosi lagi apabila sepakan Muhammad Adib Abdil Raop sekadar melewati palang gol tuan rumah.

Perak sekali lagi mencemaskan pintu gol MU apabila sepakan kencang Muhammad Adib mengenai tiang gol sebelah kanan lalu bergolek tetapi dapat diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-40.

Gol penyamaan yang dicari MU akhirnya berhasil menerusi pemain tengah Filipina, Manuel Ott pada minit ke-66.

Dia yang membuat larian dari tengah padang menggelecek beberapa pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menerjah gawang penjaga gol, Nasrullah Abdul Aziz.

Gol kedua MU pula dijaringkan oleh Norde pada minit ke-79.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN