
SATU ketika dulu Abdul Latif Romly hanya mampu tidur beralaskan tilam kecil di rumah sempit yang terletak di Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri dekat Padang Besar.
Biarpun membesar dalam serba kesusahan, selain mempunyai masalah pembelajaran, namun bakat dimiliki pemuda tinggi lampai itu membolehkan dia akhirnya menjadi jagoan dunia.
Sifatnya yang sangat pendiam dan pemalu menyebabkan Latif sukar didekati, begitupun minat yang terlalu mendalam terhadap sukan mendorongnya ‘melawan’ segala perasaan bagi menuntut ilmu di ibu negara.
Pada awal penglibatannya dalam olahraga, Latif hanya berlatih secara bersembunyi sekitar 2013 bersama jurulatih di Perlis kerana keliru sama ada mahu memberi tumpuan kepada pelajaran atau sukan.
Pihak sekolah ketika itu mahu Latif mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai jaminan masa depan, sedangkan jurulatihnya percaya, dengan masalah pembelajaran yang dihadapi sebaiknya dia memberi tumpuan kepada sukan kerana bakatnya amat besar.

Keputusan ibu bapanya membenarkan dia menyertai program Majlis Sukan Negara (MSN) di ibu negara selepas puas dipujuk serta diyakinkan oleh jurulatihnya menjadi titik penting kepada kerjaya Latif.
Kejayaan memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2016 di Rio bukan saja melonjakkan nama Latif dan sukan para di mata rakyat Malaysia, malah merubah nasib keluarganya hingga mampu menikmati kehidupan lebih selesa.
Berjaya mempertahankan emas yang dimenangi dalam acara lompat jauh T20 di temasya Tokyo 2020 baru-baru ini membuktikan, anak istimewa kelahiran Perlis itu adalah wira yang menjadi kebanggaan keluarga dan negara.


Bercerita tentang sikap Latif ketika mula melapor diri di MSN, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jaganathan berkata, pada mulanya dia sangat sukar untuk berkomunikasi dengan atlet itu kerana dia terlalu pemalu berbanding rakan-rakannya.
“Dia ini memang susah nak berkomunikasi sebab masalah pembelajaran dan lagi satu dia memang payah nak bercakap dengan pemberita dulu sebab sangat pemalu.
“Sekarang lain sedikit, dia sudah pandai dan tidak malu lagi untuk bercakap dengan pemberita,” Katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sukan bukan sahaja merubah nasib Latif dan keluarga, malah membentuknya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan sama ada untuk berdepan dengan orang ramai atau ‘memikat’ gadis.
Pendedahan keluarganya bahawa Latif sudah berpunya dan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada 2025 iaitu selepas tamat temasya Paralimpik Paris 2024 nyata mengujakan peminat.










