JDT menang tipis atasi PJ City - Utusan Malaysia

JDT menang tipis atasi PJ City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan D Piala Malaysia walaupun hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 menentang PJ City FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain sayap, Gonzalo Cabrera pada babak pertama menerusi rembatan deras jarak jauh untuk memberikan tiga mata kepada skuad Harimau Selatan.

Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk merobek kubu lawan apabila berjaya menghasilkan jaringan pada minit ketiga menerusi rembatan Cabrera yang menerjah penjuru kanan gawang dan gagal diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

PERTAHANAN JDT, Mauricio Dos Santos mengawal bola daripada diasak dua penyerang PJ City di Stadium Sultan Ibrahim malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, JDT dilihat lebih selesa menguasai permainan manakala pasukan pelawat pula lebih banyak bermain di kawasan sendiri dan menunggu peluang untuk melakukan serangan balas.

Tanpa kehadiran penyerang sensasi, Bergson Da Silva, skuad kendalian Benjamin Mora itu dilihat buntu untuk menjana serangan malah gagal mencipta peluang untuk menambah derita pasukan pelawat.

Percubaan terbaik juara Liga Super itu untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-28 namun rembatan lencong dari luar kotak penalti sedikit sipi melepasi tiang gol.

Bersambung babak kedua, tidak banyak aksi menarik dapat direncanakan oleh pasukan JDT bagi menghukum pasukan lawan yang dilihat lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Pada minit ke-66, gerakan dari sayap kiri membolehkan bola dihantar ke Natxo Insa namun tandukannya lemah dan tepat ke dakapan Kalamullah.

Melihatkan persembahan pemain yang seakan buntu untuk menjana serangan, Mora membuat keputusan membawa masuk Guilherme De Paula, Safiq Rahim dan Arif Mohd. Hanapi bagi menaikkan tempo permainan.

De Paula mempunyai peluang untuk memahat nama dalam senarai penjaring namun percubaannya gagal menewaskan gawang yang dikawal kemas Kalamullah pada minit ke-69.

Percubaan demi percubaan terus dilancarkan skuad Harimau Selatan hingga minit akhir namun gagal menambah jaringan dan keputusan kekal ke wisel penamat.

Kemenangan tersebut meletakkan JDT sebagai pendahulu Kumpulan D dengan mengutip enam mata dalam dua perlawanan.

Dalam perlawanan lain Kumpulan D, Sabah FC dan Kelantan FC berkongsi mata selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya