Hajat Sarawak tak kesampaian - Utusan Malaysia

Hajat Sarawak tak kesampaian

PERTAHANAN Sarawak United, Muhammad Zahril Azri Zabri diasak penyerang JDT II, Fernando Rodriguez dalam perlawanan Liga Perdana di Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Enggang Emas tidak mampu terbang tinggi untuk membawa piala Liga Perdana 2021 setelah mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, sebentar tadi.

Trofi Liga Perdana yang menjadi rebutan tiga pasukan itu akhirnya mendarat di Stadium Paroi, Negeri Sembilan setelah pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas PDRM FC.

Keputusan itu menyaksikan Sarawak United FC kekal di tangga kedua liga dan akan mengisi slot terakhir Kumpulan A Piala Malaysia bersama Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC.

Pada perlawanan itu, jaringan Uche Agba pada awal minit permainan mengejutkan pasukan tuan rumah yang lebih banyak menguasai permainan.

Umpanan Christie Jayaseelan tepat ke kaki Uche yang mudah menggelecek penjaga gol, T. Shaheeswaran sebelum meletakkan bola dalam gawang lawan pada minit kelima.

PENYERANG JDT II, Kei Hirose (kiri) cuba dihadang pertahanan Sarawak United,Taylor Francis dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Biarpun pasukan tuan rumah mendominasi permainan, namun tidak ada satu pun serangan itu mampu menewaskan penjaga gawang, Shaiful Wazizi Mohammad yang cemerlang menggalas tugas nombor satu itu.

Percubaan demi percubaan yang dilakukan anak buah Rafael Sanchez dinafikan Shaiful Wazizi untuk memastikan gawang Sarawak United tidak dibolosi.

Pergerakan Fernando Rodriguez yang membawa misi memburu kasut emas Liga Perdana musim ini agak terbatas setelah dirantai kapten pasukan lawan, Taylor Regan sepanjang perlawanan.

Ketika JDT II berterusan melancarkan serangan bertali arus mencari gol penyamaan, skuad Enggang Emas hampir menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi percubaan Nur Shamie Iszuan Amin namun rembatannya melewati palang gol.

PENYERANG JDT II, Alif Abdul Mutalib melompat bagi mengelak diasak pertahanan Sarawak United dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Setelah mempamerkan aksi yang memberangsangkan, gawang yang dikawal ketat Shaiful Wazizi akhirnya bolos pada minit ke-82 hasil jaringan pemain gantian, Stuart Wilkin bagi menyamakan kedudukan.

Sementara itu, bagi aksi di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Kuching City FC menewaskan Perak FC II 2-0 sekali gus membolehkan pasukan The Cats menempah slot ke saingan Piala Malaysia.

Gol yang dijaringkan oleh Irwan Syazmin Wahab dan Aylton Ananias pada minit ke-63 dan ke-81 membolehkan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mengisi slot Kumpulan B yang dianggap kumpulan maut dibarisi Selangor FC, Perak FC dan Terengganu FC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya