IPOH: Perak FC menerima khabar gembira menjelang pertemuan menentang Selangor dalam saingan Liga Super malam ini apabila boleh menurunkan pertahanan muda, Azhar Apandi.
Pengurus Besar Perak, Azman Noh berkata, kelulusan untuk menyenaraikan bekas kapten pasukan bawah 19 kebangsaan itu diberikan oleh Unit pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM), semalam.
“Azhar boleh diturunkan malam ini kerana kami sudah terima surat kelulusan untuk dia bermain mulai malam ini,” kata Azman.
Sebelum ini hasrat Azhar beraksi untuk Perak FC dalam kempen Liga Super terhalang berikutan kesilapan teknikal yang berlaku semasa pendaftarannya pada jendela perpindahan kedua awal Mei lalu.
Bagaimanapun tindakan Perak FC mendaftar pemain berusia 22 tahun itu dalam skuad Piala Presiden Perak merintis jalan buat Azhar kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga M).
“Azhar didaftarkan bersama skuad Piala Presiden Perak dan kita langkah itu nyata berbaloi kerana dia boleh diturunkan dalam perlawanan ini,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Man.
Dalam perkembangan terbaru, Perak FC mengadakan perjumpaan dengan kelab-kelab peminat bagi mencari jalan bagaimana Perak dapat mata malam ini
Azman berkata, Seladang Fans Club, Die Hard Fans ,Tbg Mobs , Kelab Peminat Perak FC dan Kelab Peminat Perak masing-masing menghantar dua wakil dalam majlis penerangan tersebut.