KUALA NERUS: Hasrat Terengganu FC memburu trofi Liga Super berkubur selepas tumpas 1-2 kepada Kedah dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.
Kekalahan itu menjadikan skuad Sang Penyu kekal 37 mata, dengan 11 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika saingan liga hanya berbaki tiga perlawanan.
Pintu gol Terengganu bocor ketika babak pertama memasuki masa tambahan apabila gerakan Syazwan Zainon dan Kpah Sherman di sebelah kiri disudahkan Rabih Ataya untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Hanya lima minit bersambung babak kedua, Syazwan yang tidak dikawal dalam kotak penalti mudah menolak hantaran Kipre Tchetche sekali gus menggandakan kelebihan buat Kedah.
Tuan rumah hanya mampu merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-70 melalui sepakan percuma Da Silva untuk kembali menghidupkan perjuangan Terengganu.
Pertahanan import, Renan Alves menafikan kebangkitan Terengganu apabila menghalang rembatan Da Silva dari jarak dekat pada minit ke-87 untuk memastikan tiga mata mutlak menjadi milik Kedah.