Kegiatan seludup hidupan liar berulang, CAP gesa tindakan tegas

Kegiatan seludup hidupan liar berulang, CAP gesa tindakan tegas

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan terhadap kegiatan penyeludupan hidupan liar yang disifatkan sukar dibendung.

Ia usulan penemuan empat ekor siamang bernilai RM120,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kejadian penahanan seorang wanita tempatan pada 28 Februari lalu bukanlah kes terpencil, sebaliknya merupakan satu kitaran jenayah yang berulang walaupun pelbagai tangkapan dan rampasan telah dilakukan.

“Setiap kejayaan penguatkuasaan hanya memberi kelegaan sementara kerana rangkaian penyeludupan masih kekal utuh dan terus beroperasi.

“Penyeludupan hidupan liar kini menjadi satu kitaran tanpa henti. Satu tangkapan tidak memadai untuk memutuskan rangkaian kerana permintaan tinggi terus mendorong kemunculan penyeludup baharu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, ganjaran tinggi yang diperoleh sindiket berbanding risiko yang dihadapi juga menjadikan aktiviti menyeludup spesies terancam itu sebagai komoditi yang menguntungkan.

“Isu ini bukan sekadar jenayah biasa. Sebaliknya, ia mencerminkan krisis yang lebih besar iaitu melibatkan eksploitasi dan kemerosotan biodiversiti negara kerana setiap haiwan yang diseludup melambangkan kegagalan kolektif. 

“Jadi, ia bukan sahaja menunjukkan kelemahan sistem, tetapi juga sikap tidak peduli masyarakat terhadap penderitaan hidupan liar ketika ini,” katanya.

Tambah Mohideen, kerajaan juga perlu memperketatkan hukuman terhadap pesalah selain memperkukuh kawalan di pintu masuk negara termasuk lapangan terbang bagi mengekang kegiatan tersebut.

“Strategi penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan taktik sindiket yang semakin canggih. 

“Dalam hal ini, pendidikan dan kesedaran awam perlu ditekankan bagi menangani punca utama jenayah berkenaan, khususnya permintaan terhadap haiwan eksotik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN