KUALA NERUS: Terengganu FC yang akan melakukan apa saja untuk menghambat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan trofi Liga Super perlu mengikat bekas ayam tambatan mereka, Kipre Tchetche apabila menerima kunjungan Kedah di laman sendiri malam ini.
Pengendali pasukan, Nafuzi Zain berkata, sedikit kelekaan boleh menyebabkan mereka dihukum oleh lawan, terutama penyerang dari Ivory Coast itu.
“Kita tahu Kedah bukan pasukan biasa, malah mereka merupakan pasukan kedua terbaik selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam tiga tahun kebelakangan ini.
“Bertemu Lang Merah bukan tugas mudah walaupun beraksi di tempat sendiri, namun kita akan bersedia dengan kesebelasan terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Nafuzi berkata, pemain tengah kelahiran England, Lee Tuck sudah kembali menyertai latihan dan bersedia untuk diturunkan.
Bagaimanapun, dia masih berteka-teki barisan pemain yang bakal dipertaruhkan dengan kesemua tonggak bebas kecederaan dan penggantungan perlawanan.
Kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang dalam aksi terakhir mereka, 7 Ogos lalu meningkatkan keyakinan Terengganu untuk berdepan Kedah, yang membenam Penang FC 4-1 dalam aksi terakhir.