PORT DICKSON: Melihat kedua ibu bapanya yang bekerja keras berniaga pisang goreng bagi menyara keluarga telah menerbitkan azam buat Fakhrul Iman Zainudin, 18, untuk berjaya dalam pelajaran.
Usaha gigih Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Telok Kemang di sini itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan semalam.
Menurutnya, dia tidak menyangka mendapat keputusan tersebut sebaliknya hanya menyasarkan semua A berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan percubaan.
“Saya memang tidak sangka dapat 11A+. Sebelum ini dalam percubaan saya memperoleh 4A+, 2A dan 5A-. Apabila melihat keputusan sebenar, saya sangat terharu dan bersyukur.
“Saya melihat ibu dan ayah bekerja keras setiap hari. Kadang-kadang ibu mengadu sakit pinggang kerana penat bekerja. Oleh itu saya rasa perlu melakukan yang terbaik bagi membalas jasa mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, kunci utama kejayaannya itu adalah dengan sentiasa menjaga hubungan baik dengan guru bagi memperoleh keberkatan ilmu selain memanfaatkan kelas tambahan yang diadakan pihak sekolah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Dalam pada itu, Fakhrul Iman menyatakan hasrat melanjutkan pengajian ke Asia Barat dalam bidang pengajian Islam kerana bercita-cita menjadi pensyarah.
Sementara itu, bapanya, Zainudin Abdul Latif, 63, berkata, dia telah melihat potensi akademik anaknya itu sejak kecil lagi.
Menurutnya, Fakhrul Iman menunjukkan prestasi konsisten dalam pelajaran sejak sekolah rendah dan berterusan hingga ke peringkat menengah.
“Saya nampak potensi dia untuk belajar sejak kecil lagi. Keputusan dari sekolah rendah hingga sekolah menengah menunjukkan peningkatan yang baik,” katanya.
Katanya, perkembangan tersebut memberi keyakinan bahawa Fakhrul Iman mampu mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Kecemerlangan Fakhrul Iman turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli yang melawat remaja itu di gerai pisang goreng diusahakan Zainudin di Telok Kemang.
“Walaupun berasal dari keluarga sederhana, Fakhrul membuktikan mampu mencapai kejayaan membanggakan. Saya akan memberikan insentif kepada Fakhrul sebagai galakan atas kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang ini,” katanya. – UTUSAN











