fbpx

Nur Atikah buru tiket, emas Sukan Komanwel 2022

NUR Atikah Mahamad Sabri giat menjalani latihan di garaj kereta di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP

JASIN: Bakal mendapat sentuhan juara Olimpik, Hidilyn Diaz, atlet angkat berat negara, Nur Atikah Mahamad Sobri bukan saja berazam untuk beraksi pada Sukan Komanwel 2022, malah membawa misi pulang bersama emas di Birmingham itu.

Bagi melayakkan diri ke Komanwel, pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 dan Perak 2018 itu me­netapkan sasaran muncul juara pada aksi kelayakan di Singapura pada 24 Oktober ini.

Kata Nur Atikah, penampilannya kali ini bukan lagi dalam kategori 64 kilogram (kg) sebaliknya akan memberi tumpuan bagi kategori 59kg.

“Dalam dua temasya Sukma di Sarawak dan Perak saya bertanding bagi kategori 64kg tetapi atas nasihat jurulatih, Ahmad Janius Abdullah dan pemenang emas Olimpik dari Filipina, Hidilyn Diaz, mereka mahu saya beralih ke kategori 59kg.

“Kini saya giat menjalani latihan dengan tumpuan kepada 59kg bagi pusingan kelayakan Sukan Komanwel di Singapura, Oktober ini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bekas Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan 2017 itu begitu yakin peluangnya untuk layak bertanding ke Sukan Komanwel tahun hadapan.

“Ini keazaman saya untuk pulang membawa pingat emas di Birmingham. Apa yang paling penting saya perlu menang di Singapura,” ujarnya.

Nur Atikah kini giat menjalani latihan di garaj kereta Kampung Kesang Tua dekat sini, tempat latihan Diaz selama 11 bulan membuat persiapan Tokyo 2020.

Dia bercita-cita mengikut jejak Diaz yang membuat kejutan apabila meraih emas di Tokyo.

Katanya, jaguh Filipina itu kini menjadi idolanya dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet itu menyemarakkan semangatnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!