LONDON: Liverpool dijangka melakukan dua atau tiga pembelian sebelum perpindahan ditutup 31 Ogos ini, dan Glen Johnson percaya, penyerang Itali, Lorenzo Insigne pemain tepat yang mampu membantu mereka merampas gelaran Liga Perdana Inggeris.
Setakat ini, Reds hanya melakukan satu pembelian iaitu membawa masuk bek tengah, Ibrahima Konate dari RB Leipzig pada harga 36 juta pound (RM207.76 juta).
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, dia gembira dengan pemain yang dimiliki ketika ini dan tidak kisah jika tidak membeli pemain baharu.
Bagaimanapun Johnson, yang menyarung jersi Liverpool dari 2009 hingga 2015 percaya, bekas pasukannya pasti melakukan pembelian dan wajar mempertimbangkan kapten Napoli, Insigne.
“Liverpool hanya akan membeli pemain yang berada dalam kemampuan mereka.
“Apa yang diperlukan Liverpool untuk mencabar liga adalah mendapatkan pemain yang boleh membantu di bahagian tengah, mencipta gerakan untuk tiga rangkaian penyerang.
“Liverpool memiliki trio serangan sama sejak beberapa tahun. Biarpun membawa masuk (Diogo) Jota, namun Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino masih menggalas tugas utama.
“Saya mahu lihat Lorenzo Insigne masuk. Dia cemerlang dalam Euro 2020, boleh ‘membuka pintu’,” kata Johnson.
Selepas memulakan kempen dengan menewaskan Norwich City 3-0, Reds akan menerima kunjungan Burnley hari ini.
– AGENSI









