LONDON: Marija Cicak bakal memahat sejarah esok apabila menjadi wanita pertama mengadili perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan tenis Wimbledon.
All England Club hari ini mengesahkan pengadil berusia 43 tahun dari Croatia itu akan mengendalikan pertembungan antara juara lima kali, Novak Djokovic dari Serbia menentang jaguh Itali, Matteo Barrettini.
Cicak sebelum ini pernah mengadili perlawanan akhir Wimbledon wanita pada 2014 di antara Petra Kvitova dan Eugenie Bouchard, selain final beregu wanita 2017.
Berasal dari Zagreb, dia sudah bertugas dalam kejohanan tenis tertua dunia, Wimbledon selama 15 tahun berturut-turut, selain terlibat dalam Sukan Olimpik 2004 di Athens, London 2012 dan Rio2016, di mana dia mengadili final perseorangan wanita.
Pengadil dari Britain, James Keothavong mengendalikan final perseorangan wanita di antara Ashleigh Barty dan Karolina Pliskova yang sedang berlangsung. – AFP