LONDON: Novak Djokovic turun ke pentas akhir tenis Wimbledon hari ini dengan membawa misi menyamai rekod hebat Roger Federer dan Radael Nadal iaitu merangkul kejuaraan Grand Slam ke-20.
Begitupun, dia perlu berdepan Matteo Berrettini yang berada pada motivasi tertinggi mahu menjadi pemain Itali pertama menjuarai perseorangan lelaki Wimbledon dan menghadiahkan kegembiraan berganda buat negaranya yang berdepan England dalam final Euro 2020.
Berrettini, 25, memahat sejarah tersendiri dengan muncul pemain Itali pertama mara ke final selepas menundukkan Hubert Hurkacz dari Poland 6-3, 6-0, 6-7 (3/7), 6-4 di separuh akhir semalam.
Dia hanya tewas dua set dalam laluan ke final tapi lawannya esok jauh lebih getir iaitu pemain No. 1 dunia dari Serbia yang turun dengan misi memburu kejuaraan Wimbledon buat kali keenam.
Djokovic melangkah ke final Grand Slam buat kali ke-30 selepas menyingkirkan Denis Shapovalov dari Kanada 7-6 (7/3), 7-5, 7-5.
“Saya tidak tahu hendak berkata apa, hanya ingin berterima kasih kepada penonton. Saya memerlukan beberapa jam untuk memahami apa yang berlaku (mara ke final Wimbledon).
“Ini hari terbaik dalam permainan tenis saya. Semoga Ahad menjadi lebih baik lagi. Saya agak gementar tapi terus percaya diri,” kata Berrettini.
Ini kali ketiga Berrettini akan berdepan Djokovic. Dia tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang pemain berusia 34 tahun itu iaitu di suku akhir Terbuka Perancis, 10 Jun lalu dan ATP Final 2019.
“Berjaya mencipta rekod akan memberi makna amat besar, sebab itu saya berada di sini dan terus bermain.
“Begitupun, Berrettini berada dalam keadaan terbaik dan memenangi banyak perlawanan di gelanggang rumput. Servisnya sangat kencang dan saya menjangkakan satu lagi pertarungan hebat hujung minggu ini,” kata Djokovic. – AGENSI