ACDFM: ASEAN tubuh pasukan petugas khas tangani ancaman rentas sempadan

ACDFM: ASEAN tubuh pasukan petugas khas tangani ancaman rentas sempadan

MOHD. Nizam Jaafar dan Panglima Angkatan Tentera Filipina, Romeo S Brawner Jr Pa pada Mesyuarat Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22, di Hotel Intercontinental, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN sepakat menubuhkan pasukan petugas khas dianggotai angkatan tentera serantau, bagi mengekang ancaman bukan tradisional rentas sempadan termasuk jenayah siber dan penipuan dalam talian.

Penubuhan pasukan petugas khas itu dipersetujui semua Panglima Angkatan Tentera (PAT) ASEAN dalam Persidangan Panglima-Panglima Angkatan Tentera ASEAN Ke-22 (ACDFM) di sini, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, penubuhan pasukan khas itu yang dianggotai tentera negara ASEAN, dianggap langkah paling penting bagi memberi tumpuan secara menyeluruh terhadap 11 isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Pasukan petugas ini akan mula beroperasi serta-merta. Kita akan menyemak dan memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang telah dibangkitkan semasa mesyuarat.

“Tambahan pula, kita berdepan pelbagai ancaman bukan tradisional. Masalahnya sekarang, bagaimana kita hendak menanganinya jika kita hidup dalam dunia tanpa sempadan?” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Staf Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner Jr. selepas ACDFM.

Antara 11 isu utama yang dibincangkan termasuk menjaga keamanan dan kestabilan, penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

Selain itu, Panglima-panglima Tentera ASEAN juga komited untuk memperkukuh kepercayaan dan keyakinan bersama menerusi Kod Pelanggaran Tidak Dirancang di Laut (CUES), Garis Panduan bagi Pelanggaran Ketenteraan Udara, Garis Panduan bagi Interaksi Maritim, Infrastruktur Komunikasi Terus ASEAN, serta pelbagai inisiatif lain di bawah kerangka Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).

Mohd. Nizam berkata, pasukan petugas itu juga akan menyumbang secara aktif kepada keselamatan serantau merangkumi pelbagai bidang, termasuk Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR), Keselamatan Maritim (MS), Perubatan Ketenteraan (MM), Anti-Keganasan (CT), Keselamatan Siber (CS), Tindakan Kemanusiaan terhadap Lombong Letupan (HMA) dan Operasi Pengaman (PKO).

Penubuhan pasukan petugas ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN