KUALA LUMPUR: MCA mempersoal ketelusan data pengambilan pelajar ke Universiti Malaya (UM) apabila hanya 85 tempat ditawarkan bagi kursus perakaunan melalui saluran perdana Unit Pusat Universiti (UPU).
Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, angka tersebut tidak konsisten dengan rekod jumlah graduan tahun sebelum yang mencecah hampir 200 orang setahun.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada wujud lebih banyak pengambilan melalui laluan komersial yang mana yuran pengajiannya jauh lebih tinggi.
“Jadi, saya ingin melontarkan satu soalan. 85 tempat untuk saluran perdana, berapa tempat pula disalurkan untuk saluran komersial, iaitu bayar penuh sepuluh kali ganda?.
“Kenapa wujud angka 85 yang tidak selaras dengan pengambilan? Adakah bermaksud ada separuh lagi disimpan dan dilenyapkan tanpa pengetahuan orang?,” katanya dalam sidang akhbar mengenai isu pengambilan pelajar ke Universiti Awam (UA), hari ini.
Pada Isnin lalu, seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Edward Wong kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem UPU ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan meskipun memperoleh pencapaian akademik tertinggi.
Edward yang berasal dari Pulau Pinang memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.
Ka Siong berkata, kerajaan harus menerima kemasukan pelajar mengikut objektif utama penubuhan universiti awam (UA) yang ditubuhkan hasil wang pembayar cukai.
Katanya, objektif itu untuk memastikan pelajar paling cemerlang mendapat tempat, selain memberi peluang kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Adakah rakyat Malaysia ingin melihat perkara ini? Akhirnya hanya orang yang maha kaya masuk universiti awam? Itu tidak.
“Kalau dulu pembayar cukai membantu kita, mendirikan universiti awam, sepatutnya ia dikekalkan. Kenapa beliau (Edward) dipaksa bayar sepuluh kali ganda yuran? Kenapa sebelum itu sudah ditawarkan secara komersial kepada beliau?,” katanya. – UTUSAN










