Lewandowski memang ‘diatur’ jadi atlet - Utusan Malaysia

Lewandowski memang ‘diatur’ jadi atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK hairanlah penyerang Poland, Robert Lewandow­ski mengecapi kegemilangan dalam karier bola sepaknya kerana dia bukan saja didorong oleh bakat, bahkan lahir daripada keluarga sukan.

Mendiang bapanya, Krzysztof seorang juara judo Poland serta pemain bola kelab divisyen kedua, Hutnik Warsaw, sementara ibunya, Iwona bekas pemain kelab bola tampar, AZS Warszawa yang kemudian menjadi naib presiden kelab Partyzant Leszno.

Sejak kecil, orang tua Lewandowski memberi pendedahan tentang sukan kepada anak mereka, malah sengaja memberi nama ringkas seperti Robert bagi memudahkan dia dikenali serta diingati apabila mencipta nama di pentas antarabangsa.

Lewandowski telah mengecapi pelbagai kejayaan di pe­ringkat kelab sepanjang beraksi di Bundesliga, malah menempa nama di pentas Eropah serta muncul penyerang terbaik sepanjang zaman apabila menjaringkan lebih 500 gol sepanjang kariernya.

Melengkapkan keluarga ‘sukan’ Lewandowski apabila dia mendirikan rumah tangga pada 22 Jun 2013 dengan pilihan ha­tinya, Anna Lewandowska, atlet karate yang pernah memenangi pingat gangsa dalam Piala Dunia 2009.

Menyentuh tentang karier­nya, minat Lewandowski dipupuk sejak kecil apabila me­nyertai kelab bola tempatan tidak berdaftar, Partyzant ­Les­zno pada 1996 selama setahun sebelum beralih ke kelab lebih besar, MKS Varsovia Warsaw sejak 1997 hingga 2004.

Kegemilangannya bermula pada 2010 apabila menyertai Borussia Dortmund di Jerman. Lewandowski dilepaskan kelab lamanya Lech Poznan dengan yuran perpindahan 4.5 juta euro (RM22.1 juta).

Nilainya meningkat apabila dia menyertai Bayern Munich pada 2014 melibatkan perpindahan 11 juta euro (RM54 juta). Sepanjang di Bayern, kariernya semakin menyinar apabila cemerlang meledak 203 gol.

ROBERT LEWANDOWSKI

Nama penuh: Robert Lewandowski
Tarikh lahir: 21 Ogos 1988
Tempat lahir: Warsaw, Poland
Negara/kelab: Poland/Bayern Munich
Pendapatan: AS$40.31 juta (RM167 juta)
Hobi: Memandu kenderaan berkuasa tinggi, bermain ATV
Makanan kegemaran: Masakan Itali
Penyanyi kegemaran: Justin Bieber

Ekoran kecemerlangannya, beberapa lagu dicipta oleh pe­minat di Bundesliga untuk setiap kejayaan Lewandowski seperti 40 gol semusim dan jaringan ke-100.
Lagu Lewandowski 40 Goals yang dimuat naik dalam YouTube pada 15 Mei lalu mendapat 267,975 tontonan.

Lagu bagi jari­ngannya yang ke-100 untuk kelab pada 2018, Lewandow­ski’s 100th Goal for Bayern menerima 2.87 juta tontonan di Youtube, menyamai rekod selebriti antarabangsa.

Disebabkan pencapaiannya juga, sebuah lagi lagu dicipta berjudul Lewy is the Best mendapat 746,340 tontonan.

Kini, bapa kepada dua anak itu adalah pemain termahal Bundesliga apabila menerima gaji ming­guan 308,000 euro (RM1.5 juta), malah pendapatan ming­guan terbaharu direkod Mei lalu ialah 653,846 euro (RM3.2 juta).

Bagaimanapun, pendapatannya tidak dihabiskan begitu saja, sebaliknya Lewandowski melabur dalam syarikat komunikasi pemasaran miliknya Stor9. Dia juga menjadi pemegang saham syarikat Protos Venture Capital dan melabur dalam e-dagang.

Seperti kebanyakan bintang sukan, Lewandowski ‘gilakan’ kenderaan berkuasa tinggi se­perti motosikal dan kereta sport. Antara koleksi kereta yang berada digarajnya adalah Mercedes, Ferrari, Audi RS7 dan Bentley Continental GT Speed Convertible.

Koleksi sentimentalnya pula Daewoo Matiz yang dihadiahkan bapanya, sementara kereta termurah dimiliki adalah Fiat Bravo.

Kapten Poland itu juga terkenal dengan sikap dermawan kerana sering me­nyumbang sebahagian pendapatannya kepada pelbagai organisasi kebajikan, terutama berkaitan kanak-kanak.

Dia turut menjadi penyumbang utama Institut Kesihatan Memorial Kanak-Kanak di kampung halamannya, Warsaw.

Lewandowski dan isterinya berjaya mengumpul 150,000 Poland Zloty (RM161,824) ketika sambutan ulang tahun kelahiran Anna.

Disebabkan sikap pemurahnya, Lewandowski dilantik sebagai Duta Muhibah oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Mac 2014.

Dia juga menyumbang 1 juta euro (RM4.9 juta) untuk membantu masyarakat menghadapi pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya