Donnarumma pakaikan Itali mahkota Raja Eropah - Utusan Malaysia

Donnarumma pakaikan Itali mahkota Raja Eropah

PENJAGA gol Itali, Gianluigi Donnarumma (kanan) bersama rakan sepasukannya meraikan kejayaan skuad Azzurri menjuarai Euro 2020 selepas menewaskan England dalam saingan akhir di Stadium Wembley, London, hari ini.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma muncul wira apabila menafikan dua sepakan pemain England untuk skuad Azzurri menang 3-2 dalam tendangan penalti penentuan pada perlawanan akhir Euro 2020 sebentar tadi.

Kejayaan tersebut membolehkan Itali merangkul gelaran Raja Eropah buat kali kedua selepas memenanginya pada 1968.

Roberto Mancini kini muncul jurulatih kelima Itali yang berjaya membawa Azzurri mengecapi kejayaan dalam kejohanan besar.

Saingan di Stadium Wembley itu menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke sepakan penalti penentuan selepas kekal 1-1 pada masa tambahan.

Three Lions memperoleh gol seawal minit kedua menerusi Luke Shaw, sebelum Leonardo Bonucci mengikat kedudukan, 65 minit kemudian.

Dalam sepakan penalti penentuan itu, Jordan Pickford menghidupkan peluang tuan rumah apabila menafikan dua tendangan pemain Itali, Andrea Belotti dan Jorginho.

Begitupun, tendangan Marcus Rashford yang terkena tiang, selain kecemerlangan Donnarumma menyelamatkan gawang daripada diceroboh Jadon Sancho dan Bukayo Saka membolehkan Itali memenangi perlawanan itu.

Kejayaan itu menyaksikan Itali melebarkan rekod 34 perlawanan tanpa kalah, manakala penantian England, yang dibimbing Gareth Southgate untuk memenangi Euro buat kali pertama sejak ia dipertandingan pada 1960, akan terus berpanjangan.

Itali kini mengumpul enam kemenangan dalam kejohanan besar melibatkan empat di Piala Dunia dan dua Euro.

Dalam kalangan Eropah, Jerman paling banyak iaitu sebanyak tujuh kali (Piala Dunia empat, Euro tiga).- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya