Op usir pekebun sayur: Polis sahkan tahan empat individu - Utusan Malaysia

Op usir pekebun sayur: Polis sahkan tahan empat individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengesahkan sudah menahan empat individu di mana tiga daripada mereka merupakan ahli parti politik dalam satu operasi pengusiran pekebun sayur di Kanthan Bharu, Chemor di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tiga ahli parti politik berusia 30 hingga 68 tahun dan seorang petani berusia 53 tahun itu diberkas semasa operasi pada pukul 2.30 petang.

Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

“Tangkapan ke atas semua lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Satu laporan polis juga dibuat PTG mengenai seorang wanita disyaki ahli kepada parti politik kerana menghalang kenderaan jabatan berkenaan semasa menjalankan operasi di kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi bersepadu bermula pukul 10.05 pagi itu diterajui PTG dengan disertai beberapa agensi manakala pihak polis pula berperanan menjaga aman sepanjang operasi berlangsung.

“Operasi bersepadu tersebut berjaya dilaksanakan di mana petani dan ahli parti politik yang berkumpul di kawasan operasi bersurai dengan aman pada pukul 2.45 petang,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita disyaki ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) patah gigi akibat terjatuh selepas dikasari pegawai PTG.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika sekumpulan petani dan beberapa ahli PSM cuba menghalang pengusiran paksa dan kemusnahan ladang di Kanthan Bharu.

Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan dalam kenyataan memaklumkan, isu melibatkan lebih 200 petani itu telah lama diperjuangkan PSM melalui serahan memorandum kepada kerajaan negeri dan kementerian terlibat.

Menurutnya, selain tiada tindakan, kerajaan negeri juga gagal melaksanakan janji untuk menggantikan tanah seluas 0.8 hektar sejak 2012.

“Kini petani diusir secara paksa sedangkan mereka telah memohon tanah itu, menunggu dengan sabar dan mematuhi tawaran kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah alternatif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya