Jun Hoong kelu, tiket Olimpik 'diragut' - Utusan Malaysia

Jun Hoong kelu, tiket Olimpik ‘diragut’

CHEONG JUN HOONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecewa, sedih dan hilang kata-kata.

Itu situasi ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong yang tidak tahu kenyataan apakah yang harus diberikan kepada media apabila ditanya mengenai kegagalan meraih tiket Sukan Olimpik pada saat akhir ketika temasya hanya tinggal sebulan untuk dilangsungkan.

Kelmarin, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengesahkan bekas juara dunia itu tidak mendapat slot untuk beraksi dalam acara 10 meter (m) platform individu di temasya Tokyo biarpun dia sudah meraih tiket awal.

FINA memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Persatuan Renang Malaysia (MAS) susulan perubahan peraturan kelayakan yang dikeluarkan 12 Mei lalu yang mana hanya 15 tiket diberi kepada mereka yang beraksi dalam Piala Dunia Terjun 2021 berbanding 18 sebelum ini.

“Saya tidak tahu hendak berkata apa ketika ini. Ubah syarat selepas kejohanan berakhir, tiada apa yang boleh saya lakukan.

“Jangan risau, saya OK…Cuma saya tidak bersedia lagi untuk memberi komen. Harap anda (wartawan) faham situasi saya sekarang. Terima kasih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

CHEONG Jun Hoong (kiri) bersama Pandelela Rinong ketika meraih pingat perak di dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Jun Hoong sebelum ini mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia FINA di Tokyo, bulan lalu yang mana peraturan lama menyaksikan semua 18 atlet ke separuh akhir layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, hasrat Jun Hoong untuk mara ke final tidak kesampaian selepas terkandas di separuh akhir sekali gus gagal menempatkan diri dalam senarai 12 penerjun yang layak ke saingan akhir.

Keputusan itu melebur impian Jun Hoong untuk mengulangi pencapaiannya pada Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan dia berjaya meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.

Kecederaan menghantui juara dunia pada 2017 itu sejak dua tahun lalu menyekat penampilannya di arena antarabangsa sehingga terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018 untuk menjalani pembedahan kecederaan lutut.

Kali terakhir atlet berusia 31 tahun itu, menyertai kejohanan adalah pada pusingan akhir Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia pada Mei 2018, di mana dia memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama bersama seorang lagi penerjun negara, Pandalela Rinong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya