Drama Mbappe, Giroud bayangi Les Bleus - Utusan Malaysia

Drama Mbappe, Giroud bayangi Les Bleus

OLIVIER Giroud (kiri) dan Kylian Mbappe menjalani latihan bersama skuad Perancis di Clairefontaine-en-Yvelines, Paris semalam menjelang pertemuan menentang Jerman dalam aksi pembukaan Kumpulan F esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Kylian Mbappe mengakui terganggu dengan rungutan rakan sepasukan Olivier Giroud mengenai permainannya menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan F menentang Jerman esok.

Kata pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG) itu, sejurus tamat aksi persahabatan menentang Bulgaria minggu lalu, dia cuba bercakap dengan Giroud tetapi penyerang tersebut hanya diam, sebaliknya dia mengetahui mengenai ketidakpuasan pemain itu menerusi media.

Bagaimanapun, di sebalik drama Mbappe-Giroud, juara dunia itu tetap melangkah ke Allianz Arena dengan berita gembira apabila Karim Benzema dan Antoine Griezmann disahkan cergas untuk berdepan juara Eropah tiga kali, Jerman.

“Kalau saya kembali berlatih bersama skuad semalam, bermakna tiada apa-apa yang sakit. Fizikal saya bagus, jadi saya bersedia 100 peratus,” kata Benzema, yang mendapat panggilan Perancis selepas hampir enam tahun disisihkan.

Bintang Real Madrid itu dikeluarkan pada babak pertama akibat kecederaan kaki ketika Perancis menewaskan Bulgaria 3-0 minggu lalu, yang menyaksikan Giroud meledak dua gol pada babak kedua.

PERANCIS bakal menurunkan trio serangan ampuh, Antoine Griezmann (kiri), Karim Benzema (tengah) dan Kylian Mbappe apabila menentang Jerman. – AFP

Biarpun menang dan menjaringkan gol, Giroud tidak gembira kerana jarang menerima bola daripada rakan sepasukan, terutama Mbappe dalam perlawanan itu.

“Saya ada bercakap dengan Olivier Giroud (selepas perlawanan). Semua orang tahu apa yang berlaku.

“Memang benar, situasi ini sedikit menjejaskan saya tapi saya tidak mahu memperbesarkannya. Saya di sini untuk mewakili Perancis, itu lebih penting.

“Dia tidak mengutuk saya, cuma meluahkan rasa tidak gembira secara terbuka sedangkan saya fikir sebaiknya dia datang terus bercakap kepada saya, malah saya tidak kisah jika dia marah atau mahu meluahkan rasa tidak gembira dalam bilik persalinan,” katanya.

Jerman antara pencabar terkuat Perancis dalam Kumpulan F, selain juara bertahan, Portugal. Kedua-dua pasukan pernah bertemu 31 kali, yang mana Perancis menang 14 kali, seri tujuh dan tewas 10.

Lima pertemuan terakhir banyak memihak Perancis yang menang tiga kali dan seri dua. Skuad Les Bleus mengalahkan Jerman 2-1 dalam aksi terakhir pada Piala Negara-Negara, 16 Oktober 2018. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya