fbpx

Terengganu kembali di landasan kemenangan

PEMAIN Terengganu, David Da Silva (kiri) dan Makan Konate (kanan meraikan gol kedua skuad Penyu yang dijaringkan Faisal Abdul Halim ketika menentang UiTM FC, sebentar tadi. - UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC kembali ke landasan kemenangan selepas mengatasi pasukan tercorot, UiTM FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kemenangan anak-anak buah Mohd. Nafuzi Zain itu dibantu dua gol dalam 10 minit pertama sebelum pemain gantian, Rahmat Makasuf melengkapkan jaringan pada babak kedua.

Pintu gol UiTM mula bocor pada minit kelapan hasil rembatan leret penyerang tuan rumah, David Da Silva yang tenang menyudahkan umpanan Faisal Abdul Halim.

Dua minit kemudian, giliran Faisal menggegarkan jaring gol pelawat selepas menanduk kemas hantaran lintang Hakimi Abdullah dari sebelah kiri.

Rentak perlahan ditampilkan kedua-dua pasukan selepas rehat dengan gerakan Terengganu FC diketuai Da Silva berjaya dipatahkan lawan menyaksikan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah.

Pada minit ke-76, sepakan percuma Konate yang melencong ke sebelah tepi akhirnya menyumbang gol ketiga Sang Penyu seminit kemudian.

Jaringan itu tercipta selepas umpanan Makan Konate singgah tepat di kaki Rahmat sebelum pemain gantian itu melepaskan sepakan leret dan menjadikan kedudukan 3-0.

Tamat 12 perlawanan Terengganu kembali ke kedudukan kedua mengumpul 24 mata dibantu kekalahan Kedah dan Penang FC kepada lawan masing-masing.

×
×