fbpx

21 April 2021, 2:51 am

  TERKINI

Dari jurulatih ke penasihat

THOMAS Dooley (kanan) bersama Chistopher Gamel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Teka-teki nasib Thomas Dooley dan Chistopher Gamel akhirnya terjawab selepas mereka bersetuju dengan tawaran baharu oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Dooley hanya sempat melatih Sri Pahang dalam dua aksi awal Liga M sebelum direhatkan dan diganti Dollah Salleh selepas tewas kedua-dua perlawanan.

Jurulatih kelahiran Jerman itu kini diberi peranan sebagai penasihat Sri Pahang termasuk bertanggungjawab melibatkan pelan pembangunan akademik dan skuad itu keseluruhannya.

Sementara itu, Gamel dilantik sebagai jurulatih bawah 21 tahun Pahang dan bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak belia Pahang.

“Mereka setuju dengan peranan baharu yang diberi dan telah menandatangi kontrak tawaran Sri Pahang,” kata Ketua Eksekutif Sri Pahang, Datuk Muhammed Suffian Awang kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dollah kembali ke jawatan asalnya sebagai jurulatih skuad Sri Pahang dan Datuk Che Nasir Salleh pula dilantik sebagai pengurus pasukan.

Muhammed Suffian dalam pada itu mengambil tanggungjawab atas prestasi skuad Sri Pahang yang kini berada di tangga sembilan liga.

Jendela perpindahan pemain bulan hadapan akan dimanfaatkan dengan membuat beberapa pengambilan pemain baharu.

“Tidak dinafikan kelemahan ketara skuad Sri Pahang adalah beberapa pemain yang gagal beraksi seperti diharapkan.

“Atas nasihat barisan kejurulatihan Sri Pahang, beberapa perubahan akan dilakukan melibatkan pemain import dan tempatan,” katanya.