MARAN: Ancaman cuaca panas ketika aktiviti lasak di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka bertukar tragedi apabila seorang peserta Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026 meninggal dunia manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi berkaitan haba, kelmarin.
Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, mengesahkan mangsa ADALAH antara dua pelajar yang menerima rawatan di HoSHAS manakala tujuh lagi dirawat di Hospital Jengka.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah berkaitan haba termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara ketahanan berkenaan.
“Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat Fadhlan Fakhry,” katanya di sini hari ini.
Fadhlan Fakhry yang mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan itu adalah pelajar tahun akhir program diploma di kampus Seremban.
KKEC adalah pertandingan ketahanan fizikal dan mental tahunan yang direka untuk menguji kekuatan fizikal, kemahiran taktikal, ketangkasan serta kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.
Ia program tahunan membabitkan peserta Komander Kesatria dari cawangan UiTM seluruh negara dan dijadual berlangsung dari 2 hingga 8 September ini di kampus cawangan UiTM Pahang di Jengka. – UTUSAN










