LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang hari ini menjelaskan, menjaga ibunya yang sakit adalah punca dia terlepas dua perlawanan penting Arsenal.
Dalam perlawanan pertama yang berlangsung tanpa kapten Arsenal itu Sabtu lalu, Gunners tersingkir dari saingan Piala FA selepas kalah 0-1 kepada Southampton.
Skuad bimbingan Mikel Arteta bagaimanapun membalas dendam apabila mengalahkan Southampton 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.
“Ibu saya berdepan masalah kesihatan dan saya perlu berada di sisinya.
“Saya berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang membantunya melalui detik sukar ini.
“Kini kesihatan ibu saya sudah semakin baik,” tulis penyerang berusia 31 tahun itu dalam media sosial.
Arteta sebelum ini berkata, dia mendedikasikan kemenangan ke atas Southampton kepada Aubameyang yang sedang berdepan detik sukar.
Kepulanhan penyerang Gabon itu memberi kelegaan buat Arsenal yang bakal menerima kunjungan Manchester United, Ahad ini. – AGENSI