Pemain remaja lebih mudah tembusi Eropah - Utusan Malaysia

Pemain remaja lebih mudah tembusi Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain remaja dalam lingkungan umur 16 hingga 18 tahun lebih mudah dipasarkan ke Eropah berbanding mereka yang sudah melepasi 20 tahun.

Bukan mahu memandang rendah kemampuan pemain Malaysia, namun kebanyakan kelab Eropah tidak berminat mendapatkan pemain dari negara ini kerana pelbagai kekangan seperti kualiti dan kesukaran menyesuaikan diri.

Itu pandangan ejen bola sepak terkenal negara, Effendi Jagan Abdullah yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia Sdn. Bhd.

“Bagi saya, susah untuk pemain berusia 20 tahun ke atas menyesuaikan diri dan memikat kelab di Eropah berbanding mereka yang berusia bawah 18 tahun.

“Pemain muda boleh memulakan karier mereka dengan beraksi bersama skuad remaja di sana sebelum diserap ke pasukan utama.

“Apabila bermula dengan skuad remaja, pemain itu akan lebih memahami sistem dan corak permainan pasukan.

“Senario bola sepak kelab-kelab utama dunia, mereka sendiri mencari pemain diingini kerana memiliki pencari bakat di seluruh dunia.

“Berbanding kita sendiri menghantar pemain terus ke skuad utama yang semestinya memberi kesukaran buat pemain itu diturunkan atau mendapat kepercayaan pengendali pasukan di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun Effendi percaya, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang ditubuhkan pada 2014 adalah projek terbaik Malaysia bagi mempromosikan pemain-pemain muda ke kelab Eropah atau pasukan terbaik Asia.

“AMD ini boleh dikatakan salah satu langkah yang baik untuk kita promosi pemain muda ke Eropah atau Asia. Sebab mereka sudah dilatih secara sistematik,” ujarnya.

Kata Effendi yang juga antara ejen pemain import Liga Malaysia (Liga M), sebelum ini dapat dilihat beberapa pemain negara yang berkelana ke Eropah tidak bertahan lama apabila kembali semula ke liga tempatan.

“Kalau kita lihat beberapa pemain negara terdahulu seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli (FC Strasbourg), Juzaili Samion (FC Strasbourg), Fadzli Shaari (SV Wehen), Rudie Ramli (SV Wehen) dan sebagainya, mereka antara pemain yang tidak kekal lama di Eropah.

“Dalam situasi Safawi Rasid (Portimonense SC) pula, dia tidak mendapat tempoh permainan yang sepatutnya dengan status sebagai pemain bintang di negara kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya