Usah terlalu fokus melawan teknologi AI - Aepul Roza - Utusan Malaysia

Usah terlalu fokus melawan teknologi AI – Aepul Roza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan lagu masih lagi menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemuzik dan peminat muzik tanah air. Kehadiran teknologi seperti Suno yang mampu menghasilkan lagu secara automatik menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk kebimbangan mengenai masa depan komposer dan nilai sebenar sesebuah karya muzik.

Perkara sama turut disuarakan oleh penyanyi rap dan komposer, Zynakal menerusi perkongsian di Threads baru-baru ini apabila mengakui kecewa kerana menerima terlalu banyak lagu yang dihasilkan menggunakan AI.

Senada dengan pandangan itu, penyanyi dan komposer, Aepul Roza turut berkongsi pendiriannya mengenai penggunaan AI dalam industri muzik. Berikut adalah pandangan Aepul berhubung isu itu.

Penggunaan AI dalam penghasilan lagu ketika ini?

AI ini sebenarnya satu isu yang besar dalam industri muzik sekarang. Saya melihat perkara ini secara neutral kerana teknologi memang akan terus berkembang. Sebagai penulis lagu, kita perlu faham tentang adab dan tanggungjawab dalam bidang ini. Apabila muncul teknologi seperti AI dan Suno, sudah tentu ramai orang luar rasa teruja sebab mereka boleh hasilkan lagu sendiri dengan mudah.

Adakah AI akan memberi ancaman kepada komposer dan penulis lagu?

Berdasarkan apa yang saya lihat, tujuan utama AI seperti Suno ini adalah untuk membantu orang yang tidak mempunyai asas muzik menghasilkan lagu. Konsepnya sama seperti media sosial, semua orang boleh berkarya dan berkongsi hasil mereka sendiri. Jadi, saya rasa kita tidak boleh terlalu menentang teknologi sebab ia berlaku secara global, bukan dalam muzik sahaja tetapi seluruh budaya manusia.

Jadi, bagaimana komposer perlu berdepan perubahan ini?

Kita kena menyesuaikan diri. Kalau terlalu ego dan menolak teknologi mentah-mentah, kita sendiri akan ketinggalan. Apa yang penting adalah percaya kepada kepakaran yang kita bina selama bertahun-tahun. Orang yang menggunakan AI sepenuhnya mungkin tidak mempunyai asas muzik, tetapi kita yang faham teori, melodi dan susunan lagu boleh gunakan AI sebagai alat bantuan sahaja.

Pada pendapat Aepul, adakah pengguna AI boleh dianggap sebagai komposer?

Itulah bezanya. Kalau seseorang hanya masukkan arahan dalam AI dan terus keluarkan lagu, dia tidak boleh terus mengaku dirinya komposer. Komposer sebenar ialah pencipta melodi dan pengkarya yang faham struktur muzik. AI sepatutnya membantu proses kerja, bukannya menggantikan keseluruhan kreativiti manusia.

Lagu AI kini banyak tular di media sosial. Adakah ia mampu bertahan lama?

Saya percaya lagu AI mungkin popular buat sementara waktu, tetapi sukar untuk bertahan lama. Lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh manusia mempunyai jiwa, cerita dan emosi. Sebab itu, karya klasik boleh kekal relevan selama puluhan tahun kerana pendengar dapat merasai keikhlasan dalam lagu tersebut.

Apa nasihat Aepul kepada rakan komposer dan penulis lagu?

Yakin dengan diri sendiri dan terus tingkatkan kemahiran. Jangan terlalu fokus untuk melawan teknologi kerana kita memang tidak mampu menghentikan perubahan dunia. Gunakan AI secara bijak sebagai alat bantuan, tetapi jangan biarkan mesin mengambil alih identiti kita sebagai pencipta melodi dan karya sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN