JOHOR BAHRU: DAP menegaskan pihaknya akan terus memperkasa Bahasa Melayu (BM) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun kerajaan semakin terbuka mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook malahan berkata, pihaknya tidak hanya akan memperkasa BM tetapi semua bahasa yang digunakan rakyat negara ini.
“DAP akan perkasakan BM, jangan risau kerana BM adalah bahasa kebangsaan kita buat selama-lamanya.
“Kita mahu anak Malaysia kuasai BM sahaja, tetapi juga bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan jika boleh bahasa Arab. Ini falsafah kerajaan MADANI, ini perjuangan kita,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bahawa calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri.
Tambah Siew Fook, pengiktirafan sama turut dipersetujui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu sebelum kini mereka menolaknya.
“Tetapi hanya kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani melakukan perkara itu. Faktanya lebih 80 peratus daripada 10,944 pelajar UEC mengambil SPM, UEC tidak akan ganti SPM, jangan salah faham.
“Saya tabik Perdana Menteri, tiada mana-mana pemimpin yang berani, dalam 10 Perdana Menteri hanya beliau seorang yang berani selesaikan perkara ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menempelak Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang gagal memperjuangkan isu berkenaan walaupun berada dalam kerajaan selama berpuluh-puluh tahun.
“UEC ini isu pendidikan, bukan isu politik,” katanya.










