Tindakan Rafizi, Nik Nazmi perlu diteliti - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Tindakan Rafizi, Nik Nazmi perlu diteliti – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan PH pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih Parti Bersama Malaysia (PBM) perlu diteliti kesannya daripada sudut perundangan.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook berkata, antara pihak yang perlu memperhalusi perkara itu termasuklah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Itu mungkin ada implikasi terhadap daripada segi perundangan. Itu kena lihat, pihak Speaker Dewan Rakyat kena buat keputusan.

“Walaupun saya hormati pendirian mereka, mungkin sudah kecewa dan sebagainya tetapi sepatutnya kekal hingga akhir penggal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Tambah Setiausaha Agung DAP itu, tindakan dibuat bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu tidak akan menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku.

“Mereka pun tahu, sekarang sudah lebih tiga tahun penggal kerajaan, jadi letak jawatan pun tiada PRK. Sebab itu saya kata sepatutnya prinsip apabila sudah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga akhir penggal,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rafizi serta Nik Nazmi mengumumkan pengambilalihan PBM yang ditubuhkan Tan Gin Theam di Pulau Pinang pada tahun 2016 untuk menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara.

Penyerahan replika sijil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu disambut tepukan gemuruh penyokong kedua-dua bekas menteri yang melepaskan jawatan kabinet selepas mereka tewas dalam Pemilihan Pusat PKR 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN