KUALA LUMPUR: Debaran kian dirasai buat 21 pelumba cilik apabila kembali berentap untuk merebut gelaran dalam Kejohanan SIC MiniGP pusingan kedua yang akan berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC), Ahad ini.
Juara bagi tirai pembukaan musim ini menyaksikan Qabil Irfan dari kelas 110CC, tidak sabar untuk mempamerkan aksinya, manakala juara 160cc Hakim Danish, turut optimis mempertahankan status tersebut.
“Saya bersemangat untuk melihat anak-anak muda terus berlumba dan meningkatkan kemahiran mereka dengan mengendalikan jentera lumba mereka pada pusingan kedua nanti.
“Dalam masa sama, ia merupakan satu program akar umbi untuk pelumba cilik membina keyakinan mereka menerusi jentera lumba berangka penuh.
“Apa yang saya ingin lihat, mereka perlu tekun, dedikasi dan bekerja keras untuk meraih tahap yang seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, semua pelumba masih dalam fasa pengenalan, di mana mereka dalam proses menyesuaikan diri dengan litar, pengendalian jentera lumba, keadaan cuaca, dan sebagainya.
Latihan yang telah diberikan oleh pelatih professional dan mekanik terlatih menjadi pembakar semangat untuk mereka berlumba dengan lebih yakin, aggresif serta kompetitif antara satu sama lain.
Jentera lumba juga telah diperbaiki berdasarkan maklum balas daripada pelumba cilik, dengan penyerap hentak turut diubah suai bagi memastikan ia berada dalam keadaan lebih sempurna.
Menerusi bimbingan bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin di samping mekanik terlatih
dari ZK Racing, semua peserta dapat mempelajari prosedur dan cara perlumbaan secara profesional.
“Saya harap pelumba cilik dapat berlumba dengan lebih baik dan lebih laju Ahad ini. Seperti biasa, aspek keselamatan amat dititikberatkan agar semuanya berjalan dengan lancar,” kata Zulfahmi yang juga pengurus pasukan ZK Racing