LONDON: Pertahanan England, Ben Chilwell menjadi pembelian besar ketiga Chelsea apabila menyertai Blues dengan yuran sekitar 50 juta pound (RM275 juta) dari Leicester.
Bek kiri berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun, dan menjadi urus niaga terbesar dilakukan Leicester.
Chelsea yang sebelum ini mendapatkan Hakim Ziyech dan Timo Werner daripada Ajax serta RB Leipzig dijangka menandatangani beberapa lagi pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.
“Saya teruja dan gembira menyertai Chelsea.
“Saya sedia menjadi sebahagian skuad muda dan dinamik Frank Lampard dalam misi meraih kejayaan musim depan,” kata Chilwell.
Chilwell yang merupakan produk akademi Leicester memiliki 11 cap bersama England dan membuat penampilan sulung buat The Foxes pada Oktober 2015.
Sejak itu dia sudah beraksi dalam 123 perlawanan (semua pertandingan).
“Perpindahan Ben diiringi doa setiap orang di Leicester dan kelab berterima kasih di atas sumbangannya sepanjang tempoh menggembirakan bersama kami,” kata The Foxes dalam satu kenyataan.
Chelsea menduduki tangga keempat dan layak ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir musim Liga Perdana selepas Leicester tersingkir daripada persaingan pada Julai lalu.
Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata: “Kami berbesar hati melengkapkan pemain ketiga dalam skuad ini untuk musim depan.
“Ben membawa bersama pengalaman beraksi di Liga Perdana, Liga Juara-Juara selain di peringkat antarabangsa di sebalik usianya yang masih muda.”
Chelsea turut dikaitkan dengan pertahanan veteran Paris Saint-Germain (PSG) dari Brazil, Thiago Silva manakala pemain Bayer Leverkusen, Kai Havertz semakin hampir berpindah ke Stamford Bridge. – AGENSI.