Risiko kesihatan kepada penyelam - Utusan Malaysia

Risiko kesihatan kepada penyelam

Ika Faizura Mohd. Nor ketika menyelam di Sipadan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyelam memang seronok, terutamanya bagi yang suka melihat keindahan dasar lautan, tetapi tidak tidak ramai yang tahu mengenai risiko menunggu.

Mengalami serangan jantung secara tiba-tiba, paru-paru kembang serta pecah akibat tekanan di dalam air antara risiko perlu diketahui penyelam. Begitu juga jangkitan kuman dan trauma yang boleh menjejaskan pendengaran.

Walaupun risikonya rendah dan jarang berlaku tetapi sekiranya berlaku secara tidak disangka-sangka, mangsa berkemungkinan besar sukar mendapatkan rawatan kecemasan. Ini berikutan kawasan aktiviti menyelam biasanya dilakukan di kawasan terpencil dan jauh daripada kemudahan hospital.

Pakar Kardiologi, KPJ Ampang Puteri, Dr. Ika Faizura Mohd. Nor berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, penyelam disarankan mengamalkan langkah pencegahan dengan memastikan kesihatan diri stabil.

“Risiko menyelam rendah, tetapi kalau tidak ambil langkah berjaga-jaga, ia boleh menyebabkan risiko lebih merbahaya yang boleh membawa maut seperti serangan jantung.

“Aktiviti ini juga biasanya dilakukan di tempat terceruk seperti pulau yang tiada kemudahan hospital atau tiada akses kepada bantuan kecemasan dalam tempoh singkat.

“Tambahan pula, kawasan pedalaman seperti pulau tiada fasiliti merawat serangan jantung termasuk ketiadaan pakar jantung,” katanya kepada Seri.

Suami Ika, Dr. Azuzay dan anak Perempuan mereka, Jasmine, turut gemar menyelam.

Individu yang ingin melakukan aktiviti menyelam, perlu memastikan kesihatan jantung berada dalam keadaan terkawal dan baik.

Dr. Ika Faizura berkata, bagi individu 30 tahun ke atas, mereka perlu jalani ujian saringan seperti ujian darah untuk pastikan tiada kencing manis, kolesterol dan tiada tekanan darah tinggi.

“Buatlah ujian larian atau ujian stres. Pastikan tiada masalah jantung sebab masalah jantung, biasanya adalah masalah tersembunyi. Serangan jantung dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia boleh berlaku secara tiba-tiba biarpun tiada gejala,” katanya.

Bagi mereka yang pernah mengalami serangan jantung atau mengalami sakit jantung sebelum ini, sebaiknya pastikan jantung berada dalam keadaan stabil dengan makan ubat mengikut jadual dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok, makan makanan seimbang dan bersenam.

“Dapatkan pengesahan daripada doktor yang merawat. Kebanyakan pesakit jantung yang aktif dan mempunyai stamina mencukupi boleh melakukan aktiviti menyelam.

Bagaimanapun, aktiviti ini perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan ke setahun selepas menjalani rawatan. Ini kerana aktiviti menyelam memerlukan stamina dan tenaga yang kuat,” katanya.

Elak barotrauma

Menyelam perlu dilakukan dengan teknik betul bagi mencegah risiko lebih serius.

* Ketika menyelam, seimbangkan badan dengan kaedah betul terutamanya ketika turun ke dasar lautan ataupun naik ke permukaan air yang mana ia perlu dilakukan dengan perlahan untuk mengelak berlakunya ‘barotrauma’.

* Ketika menyelam, tekanan akan berlaku ke atas paru-paru. Bila naik ke permukaan air, tekanan semakin berkurangan dan paru-paru akan mengembang. Sekiranya penyelam naik ke permukaan air terlalu cepat, paru-paru berisiko tinggi untuk pecah atau pneumothorax.

* Gelembung udara daripada paru-paru juga boleh masuk ke saluran darah yang menyebabkan salur darah tersumbat. Ia boleh menyebabkan penyelam mengalami sesak nafas, sakit dada dan pengsan.

* Penyakit dekompresi boleh berlaku sekiranya gas nitrogen bertukar menjadi gelembung udara yang menyumbat saluran darah atau jaringan organ. Ini boleh terjadi sekiranya penyelam naik ke permukaan air dengan cepat tanpa memberi masa pada tubuh menyelaraskan tekanan air atau tekanan udara.

* Sumbatan salur darah boleh mencederakan otak. Jika ia berlaku pada bahagian tangan atau kaki, boleh menyebabkan bahagian berkenaan mengalami kesakitan dan sukar digerakkan.

* Mengelakkan risiko, penyelam perlu berhenti dan biarkan badan terapung terlebih dulu sekurang-kurangnya tiga minit pada kedalaman lima meter sebelum naik ke permukaan air.

Risiko pekak

Risiko trauma pada telinga sehingga menjadi pekak akibat dimasuki air juga antara yang boleh berlaku ke atas penyelam.

Ketika turun ke dasar laut ataupun naik ke permukaan air penyelam perlu melakukan teknik equilisation pressure atau mampatan tekanan di telinga.

Sekiranya ia tidak dilakukan dengan betul, kecederaan pada gegendang telinga boleh berlaku dan menyebabkan pekak.

Kata Dr. Ika Faizura mereka yang ada masalah sinus dinasihatkan untuk memastikan masalah dihadapi berada dalam keadaan stabil kerana sinus boleh menyebabkan kesukaran melakukan teknik mampatan tekanan di telinga.

“Makan ubat (antihistamin) bagi mengurangkan sinus. Gunakan ubat semburan hidung untuk mengurangkan radang sinus sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu sebelum pergi menyelam dan pastikan semuanya terkawal,” katanya.

Individu dengan masalah asma pula perlu pastikan asma terkawal.

Sebaiknya elakkan menyelam ketika asma sedang menyerang kerana suhu air yang lebih sejuk boleh meningkatkan risiko serangan asma ketika menyelam.

“Berikutan perairan negara memiliki suhu berbeza, penghidap asma perlu memakai pakaian sesuai ketika menyelam seperti sut wet. Suhu di pantai Timur biasanya tidak berapa sejuk berbanding suhu air di Sipadan. Malah air yang sejuk memerlukan lebih banyak tenaga ketika menyelam.

“Mereka juga perlu memastikan menggunakan ubat seperti inhaler sebelum turun ke air,” katanya.

Rawatan

Barotauma ataupun penyakit dekompresi yang ringan boleh menjalani rawatan yang biasanya menggunakan terapi oksigen saja.

Bagaimanapun, bagi kes lebih serius, pesakit memerlukan rawatan menggunakan barometric chamber atau kebuk penyahmampatan di mana tekanan tinggi digunakan untuk merawat kesan aktiviti selaman.

“Pesakit yang mengalami kesan atau masalah akibat aktiviti menyelam tidak dibenarkan menyelam lagi dalam masa sekurang-kurangnya dua minggu. Bagi kes lebih serius, mungkin rawatan memakan masa beberapa bulan.

“Peluang sembuh bergantung kepada keadaan pesakit. Sesetengah pesakit boleh mengalami kesan serius termasuk koma, lumpuh dan maut. Sebelum menyelam, pastikan tidur cukup, minum air yang cukup dan elakkan minum alkohol sebab ia boleh menyebabkan dehidrasi,” katanya yang turut menasihatkan penyelam memakai jam khas yang boleh merekod sejauh mana kedalaman air, tempoh menyelam, berapa cepat naik ke permukaan air selain memberi petunjuk sama ada selamat atau tidak untuk menyelam semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.