LONDON: Pemain sensasi Barcelona Lamine Yamal menjadi perhatian pihak berkuasa selepas didakwa mengupah orang kerdil membuat persembahan dalam majlis sambutan ulang tahun kelahirannya baru-baru ini.
Remaja berusia 18 tahun itu meraikan ulang tahun kelahirannya hujung minggu lalu dalam satu majlis serba mewah bertemakan mafia yang turut dihadiri lebih 200 tetamu termasuk selebriti terkenal.
Bagaimanapun, majlis eksklusif tersebut mengundang kontroversi selepas tular rakaman video di media sosial yang memaparkan beberapa individu bertubuh kerdil meninggalkan majlis.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan kerajaan Sepanyol mengenai kemungkinan berlakunya unsur eksploitasi terhadap golongan terbabit dalam majlis anjuran pemain remaja itu.
Persatuan Sepanyol untuk Individu Achondroplasia dan Displasia (ADEE) turut melahirkan rasa kecewa dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Yamal.
Presidennya, Carolina Puente menyifatkan insiden itu sebagai tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ia melibatkan figura popular yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
“Pada zaman moden ini, masih ada lagi orang kerdil dijadikan bahan hiburan dalam acara peribadi. Ia sesuatu yang sangat mengecewakan, apatah lagi melibatkan tokoh ternama seperti Yamal,” katanya.
Kenyataan itu turut mendapat reaksi pantas daripada Pengarah Ketidakupayaan Sepanyol, Jesús Martín yang menggesa siasatan rasmi segera dilaksanakan oleh kerajaan.
Beliau tidak menolak kemungkinan pemain kebangsaan Sepanyol itu bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk denda yang boleh mencecah 867,000 pound (RM4.7 juta) sekiranya didapati bersalah. – AGENSI/UTUSAN










