Bina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman

Bina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman

KAWASAN antara Kampung Paya dan Kampung Genting dikatakan menjadi lokasi cadangan pembinaan lapangan terbang komersial di Pulau Tioman di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Sebuah lapangan terbang baharu perlu dibina di Pulau Tioman, dekat sini bagi menyediakan akses lebih efisien sepanjang tahun kepada pengunjung pusat peranginan tersebut.

Pelancong dari Sepanyol, Ca­rol, 39, berkata, Pulau Tioman yang terkenal sebagai destinasi ekopelancongan terkemuka, berdepan kekangan pengangkutan terutama ketika musim monsun.

“Apabila ada lapangan terbang komersial, pelancong dapat menikmati kemudahan perjalanan tanpa bergantung sepenuhnya kepada feri yang tertakluk kepada keadaan cuaca. Saya pernah berdepan pe­ngalaman menaiki feri dari Jeti Mersing yang terhenti apabila berdepan cuaca buruk.

“Jika ada lapangan terbang di Pulau Tioman, masa perjalanan berkurang lebih 60 peratus dan kunjungan kami ke pulau ini jadi lebih selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Presiden Persa­tuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, sebuah lapangan terbang komersial perlu dibina di bandar Rompin yang mampu menjadi pemang­kin pembangunan pesat Pantai Timur, sekali gus menjana limpahan ekonomi ke kawasan sekitar termasuk Pulau Tioman, Mersing dan Muadzam Shah.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, penduduk pulau itu terus berdepan dilema berpanjangan berikutan ketiadaan kemudahan lapangan terbang komersial dan hanya bergantung kepada perkhidmatan feri serta bot laju.

Pelancong tempatan, Shazwi Isa, 40, berkata, pembinaan lapangan terbang yang lebih besar dan kondusif akan menyelesaikan masalah pengangkutan di Pulau Tioman.

“Kalau ada kapal terbang, le­bih jimat masa terutama pekerja macam saya yang tidak ada cuti panjang. Saya juga percaya pelancong dari seluruh dunia teruja berkunjung ke Pulau Tioman jika lokasi ini ada lapangan terbang komersial,” katanya.

Pengusaha chalet yang ha­nya ingin dikenali sebagai Zura berkata, pembinaan lapangan terbang bukan sahaja mampu tingkatkan kemasukan pelancong, malah merancakkan pembangunan ekonomi setempat.

Pada November 2019, kerajaan Pahang dan kerajaan Pusat menemukan kata sepakat untuk meluluskan projek pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman di Kampung Paya, sepertimana yang dicadangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Kawasan ini paling sesuai kerana mempunyai kesan paling minima terhadap persekitaran dan kehidupan rakyat jelata.

Cadangan ketika itu untuk membina landasan sepanjang 2.5 kilometer untuk membolehkan pesawat jenis Boeing 737 atau Airbus A320 berkapasiti antara 180 dan 200 penumpang mendarat di lapangan terbang tersebut.

Pada Ogos 2023, kerajaan memutuskan tidak meneruskan projek pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman selepas mendapati ia berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada alam sekitar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) mendapati bahawa cadangan tersebut berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin sekiranya diteruskan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN