SETIAP 4 Oktober, dunia memperingati Hari Haiwan Sedunia sebagai peringatan manusia bukan satu-satunya penghuni bumi. Sambutan ini seharusnya tidak terhenti sebagai acara simbolik, sebaliknya menjadi ruang menilai cara generasi muda dididik supaya menghormati alam dan haiwan yang berkongsi dunia bersama kita.
Bersempena sambutan itu baru-baru ini, naratif alam sekitar atau penting, khususnya dalam pendidikan kanak-kanak. Cerita tentang hutan, sungai, haiwan liar, kehilangan habitat dan hubungan manusia dengan alam dapat menjadi alat pendidikan berkesan.
Melaluinya, anak-anak bukan sekadar mengetahui spesies yang terancam, malah memahami kepentingan memelihara kehidupan serta tanggungjawab manusia mencegah kehilangan tersebut.
Kanak-kanak mungkin belum memahami istilah seperti biodiversiti, kemerosotan habitat atau kepupusan spesies. Namun, mereka boleh memahami harimau memerlukan hutan, burung memerlukan pokok untuk bersarang dan hidupan laut memerlukan lautan yang bebas daripada sampah.
Cerita menjadikan perkara yang abstrak lebih dekat dengan pengalaman dan perasaan mereka.
Dalam usaha ini, ibu bapa dan guru menjadi pemangkin penting. Mengajar anak berbuat baik kepada haiwan, menerangkan kepentingan hutan atau menggunakan cerita alam di bilik darjah sebenarnya menanam benih empati.
Daripada nilai kecil seperti menghormati kehidupan dan menjaga habitat, dapat lahir manusia yang lebih bertanggungjawab terhadap bumi.
Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pernah menyeru rakyat memelihara Harimau Malaya. Pesanan beliau agar harimau tidak sekadar tinggal sebagai lambang pada jata atau pakaian membawa makna besar. Kehilangan haiwan bukan hanya kehilangan spesies tetapi sebahagian daripada warisan dan identiti kita.
Dalam pemikiran Islam, manusia sebagai khalifah diberikan hak memanfaatkan alam bersama kewajipan menjaganya dan mengelakkan kerosakan.
Seperti yang ditekankan Professor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, manusia mempunyai tanggungjawab moral menggunakan alam secara beretika, bukan mengeksploitasinya sesuka hati.
Pendidikan alam sekitar juga tidak harus terhad kepada Sains dan Geografi, sebaliknya kesusasteraan, agama, seni, filem, berita serta perbualan harian boleh menjadi ruang membina kesedaran. Fakta memberikan pengetahuan, manakala cerita membina empati.
Maka, kita perlu melihat bukan sekadar sejauh mana anak-anak mengenali haiwan tetapi sejauh mana mereka belajar menyayangi dan melindunginya.
Masa depan alam turut bergantung pada nilai yang ditanam sejak kecil.
Akhirnya, haiwan dan alam bukan sekadar berada di dunia kita. Kita berkongsi dunia ini bersama mereka. –UTUSAN
NUR FAATHINAH MOHAMMAD ROSHDAN
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Rembau











