KUALA NERUS: Anak kepada seorang mangsa nahas helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru, baru-baru ini menangguhkan pendaftarannya ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dijadualkan berlangsung semalam, memandangkan situasi keluarganya yang belum stabil ekoran kejadian itu.
Nur Afiqah Suffiyah Faizul, 18, sepatutnya mendaftar bagi mengikuti pengajian Diploma Radiografi namun memilih menangguhkan kehadiran ke kampus sehingga Ahad ini.
Ibunya, Superintenden Siti Hamidah Omar, 45, berkata, mereka kini berada di Johor kerana suaminya, Asisten Komisioner Faizul Muhammad masih menerima rawatan susulan insiden tersebut.
“Insya-Allah saya akan hantar Nur Afiqah Suffiyah Ahad ini bersama seorang anak lagi. Kami sudah maklumkan kepada pihak universiti tentang penangguhan. Buat masa ini, saya perlu uruskan suami dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Nur Afiqah Suffiyah meluahkan masih terkesan dengan insiden yang menimpa Faizul dan menyifatkan kejadian itu sangat mengejutkan, lebih-lebih lagi kerana bapanya sangat teruja dengan beritanya diterima masuk ke universiti.
“Ayah memang rancang nak hantar saya sendiri ke Terengganu. Beliau sangat bangga bila tahu saya sambung belajar dan semua persiapan telah dibuat lebih awal,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu merupakan salah seorang daripada 1,035 pelajar baharu yang sepatutnya mendaftar ke UniSZA, semalam bagi kemasukan sesi 2025/2026.
Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi Khamis lalu, lima kru helikopter PDRM itu terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini.
Insiden itu berlaku ketika helikopter melakukan lintas hormat Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).











