Kembiri kucing, elak risiko penyakit

Kembiri kucing, elak risiko penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCING sering menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan dan peneman.

Namun, ramai yang terlepas pandang hal-hal berkaitan penjagaan kucing terutama kembiri.

Kembiri atau pemandulan amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko di masa akan datang.

Peminat kucing yang ingin dikenali sebagai Mei, 28, berkata, topik pemandulan kucing sentiasa menjadi bualan hangat dan kontroversi dalam kalangan pemilik haiwan comel itu.

Katanya, kebanyakan pihak berpendapat memandulkan kucing merupakan satu kesalahan dan dianggap berdosa.

“Ada yang sedar tetapi tidak tahu betapa pentingnya perkara itu untuk kucing mereka.

“Segelintirnya pula tidak mampu kerana kos rawatan yang tinggi selain rasa berdosa untuk berbuat demikian pada kucing,” katanya kepada Seri baru-baru ini.


TITIK PERMULAAN
Menceritakan pengalamannya menjaga haiwan jalanan, kata Mei, ia bermula selepas terjumpa seekor kucing yang cedera akibat dilanggar kereta.

Sejak itu, dia jatuh cinta pada si bulus dan makin kerap membantu haiwan berkenaan.

“Saya mula tolong lebih banyak kucing selepas berpindah rumah beberapa tahun lalu. Kawasan ini terlalu banyak kucing terbiar,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 40 kucing jalanan berjaya ditempatkan di rumahnya dengan dibantu oleh ahli keluarga.

PLATFORM TIKTOK
Setiap bulan, kos yang perlu ditanggung bagi keperluan asas haiwan tersebut mencecah lebih RM1,000.

Mei yang juga pencipta kandungan di TikTok berkata, ia tidak termasuk perbelanjaan rawatan di klinik, ubat-ubatan dan penjagaan khas lain.

Kisah kucing jalanannya mendapat perhatian warganet setelah video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok tular.

“Daripada situ, lebih ramai pencinta kucing mula kenal saya,” katanya.

Platform TikTok juga digunakan untuk meraih dana bagi kes-kes kucing kecemasan yang tenat dan memerlukan bayaran tinggi.

Katanya. kebanyakan sumbangan yang diterima adalah berbentuk wang selain ada yang menyumbang keperluan asas seperti makanan dan tempat tidur.

Wanita ini membuat keputusan untuk menerima sumbangan setelah ramai pengikutnya mencadangkan kutipan dana bagi membantu kucing-kucing jalanan.

“Pada mulanya, saya tidak meminta bantuan sehingga seekor kucing jalanan di bawah jagaan saya memerlukan bantuan dan kami tidak mampu membayar rawatan,” katanya.

PENJAGAAN
Mengenai penjagaan kucing, Mei berkata, bagi yang memerlukan penjagaan khas, kucing itu akan diasingkan dalam sangkar.

Katanya, untuk kucing tanpa sebarang masalah pula, mereka dibiarkan bebas dalam rumah tanpa sebarang batasan termasuk waktu makan.

“Untuk beberapa kucing kita yang sakit seperti buah pinggang dan memerlukan penjagaan khas, saya sendiri jaga dan bagi ubat.

“Kucing biasa pula saya biar berkeliaran dalam rumah, bebas tanpa sebarang jadual termasuk waktu makan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN