Dalam kalangan rakan seusia bermain gajet, Mirza sebaliknya memilih memanjai lebih 50 haiwan perliharaan eksotiknya sebagai mengisi masa lapang. Ia dijaga penuh kasih sayang dan menjadi rakan karib untuk meluahkan perasaan.
Dianugerahkan sifat penyayang terhadap haiwan, Mirza atau Mirza Mohd. Zaini, 14, mula berjinak-jinak memelihara haiwan sejak berusia tiga tahun.
Kata Mirza, menjaga haiwan peliharaan eksotik mungkin nampak mewah, tetapi sebetulnya ia lebih memerlukan tanggungjawab, pengetahuan dan dokumentasi yang betul bagi memastikan kebajikan haiwan itu terjamin.
Anak sulung daripada dua beradik ini memberitahu, dia sudah dibiasakan bermain dengan haiwan termasuk jenis berbisa dan eksotik sejak berumur tiga tahun lagi sebelum memeliharanya dua tahun kemudian.
“Jadi, tidak timbul perasaan geli atau takut kerana dia tahu cara menjinakkannya. Saya juga belajar mempelajari kaedah penjagaan betul dengan merujuk bahan bacaan atau carian maklumat di Internet,” katanya kepada Gaya, Utusan Malaysia.
Minat itu dimanfaatkan Mirza apabila ia menjadi sumber pendapatan sampingan dengan menawarkan khidmat Petting Zoo atau pameran haiwan peliharaan di majlis hari jadi dan pelbagai acara bertemakan haiwan.

SEJAK KECIL
Berkongsi cerita, Mirza berkata, minat memelihara haiwan timbul selepas ayah membawa pulang ayam serama ke rumah ketika dia berumur tiga tahun.
“Bermula daripada situ, saya jadi seronok dan timbul keinginan memelihara haiwan dari spesies lain. Disebabkan minat, saya juga kerap bertanyakan kepada ibu dan ayah mengenai haiwan selain gemar membaca buku berkaitan bagi mendapatkan pengetahuan tambahan,” katanya.
Menurut Mirza, dia sekeluarga kini membela hampir 50 haiwan. Antaranya itik, burung dan ular.
“Ada yang disimpan dalam rumah, sehingga penuh ruang tamu dan ada juga diletakkan dalam sangkar di luar rumah,” katanya.
Mirza menganggap haiwan-haiwan tersebut sebagai rakan karib menjaganya seperti anak sendiri. Dengan bantuan ibu bapanya, dia sekeluarga menyediakan kos makanan, perubatan, habitat seperti sangkar dan lain-lain.
“Ada yang murah puluhan ringgit, ada yang mahal hingga ribuan ringgit. Insya-Allah jika kita ikhlas menjaga haiwan-haiwan ini, mereka juga pembawa rezeki untuk kita,” katanya.
Kebiasaannya, Mirza meluangkan masa bermain haiwan peliharaan selepas pulang dari sekolah dan pada waktu itu juga, dia memberi makan dan menyediakan keperluan sepatutnya.
Jika ada kelapangan, barulah ibunya mengambil tawaran untuk Mirza mengadakan pameran haiwan dalam mana-mana acara yang memerlukan haiwan sebagai tarikan.
“Selain mahu berkongsi minat, pameran itu diadakan bagi mencari duit poket menampung kos pengurusan haiwan peliharaan memandangkan ibu dan ayah mahu saya berdikari tanpa bergantung dengan mereka semata-mata,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor verterinar.
BELAKAR KENAL HAIWAN DARIPADA MIRZA
Kebiasaannya, ibu akan mengajar anak tentang sesuatu perkara. Namun, lain pula kisah Mirza dan ibunya, Maizura Eliana Ab. Malik, 41, yang belajar tentang ilmu haiwan-haiwan tersebut daripada Mirza.
“Terus terang saya memang tak ada ilmu tentang haiwan-haiwan tersebut, semuanya saya belajar daripada anak saya Mirza tentang jenis haiwan, sifat, habitat, pemakanan dan penjagaan yang sepatutnya. Seronok apabila dapat lihat anak saya dapat belajar tentang haiwan bukan sahaja teori (membaca) tetapi dapat alami sendiri pengalaman (praktikal) dan berjaya membiakkan haiwan-haiwan ini,” jelas Mizura.
Berkongsi tentang penjagaan haiwan, katanya, terdapat banyak jenis haiwan peliharaan dan penjagaan juga memang berbeza. Mizura menjelaskan, ada yang perlu ruang besar, tempat menyorok atau gelap, ada haiwan tidak perlu pasangan (solitary) dan ada haiwan yang hanya aktif waktu malam (nocturnal).
Tidak ketinggalan, diet pemakanan juga berbeza kerana ada haiwan yang makan tumbuhan sahaja atau daging sahaja atau kedua-duanya.
Nasihat Mizura, sebagai penjaga, anda perlu tahu keperluan khas seperti lampu khas untuk pemanas dan sinaran matahari (UV), serbuk kalsium dan sebagainya.
“Oleh itu, perlu pastikan kita mempunyai cukup ilmu, dan buatlah kajian mengenai haiwan kita minati untuk dipelihara.
“Kita juga perlu mengambil tahu tentang haiwan yang boleh dipelihara dan yang dilarang. Contoh haiwan dalam perlindungan. Terdapat juga haiwan yang boleh dipelihara tetapi perlu permit khas dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan,” terangnya.

Sementara itu, sejak dulu lagi, dia dan suami, Mohd. Zaini Zainul Abidin, 47, memberi galakan penuh kepada Mirza malah sudah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk hobi anaknya itu.
“Saya dan suami menyedari minatnya sejak kecil, malah dia juga gemar mengajak kami ke zoo, melihat haiwan yang ada di situ dengan lebih dekat.
“Melihatkan kesungguhannya, saya dan suami memberi sokongan dan tidak pernah menyekat kemahuannya memelihara haiwan tetapi sentiasa memantau supaya dia tetap memberi keutamaan kepada pelajaran.
“Salah satu kebaikan saya nampak dalam diri Mirza, apabila banyak perubahan positif muncul dalam dirinya, antaranya lebih penyayang, sabar dan tidak panas baran seperti dulu,” katanya.










