Suami acuh tak acuh, isteri belajar memahami, menerima

Suami acuh tak acuh, isteri belajar memahami, menerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kasih sayang. Ada yang meluahkan dengan kata-kata manis, perhatian bahkan ada yang menzahirkan melalui tindakan seperti bekerja keras dan hadiah.

Namun ada juga yang bersikap acuh tidak acuh atau nonchalant, tenang, seperti tidak ambil peduli walaupun sebenarnya mereka mungkin menyayangi dengan cara yang tidak mudah difahami.

Sikap nonchalant ini kadang kala tanpa disedari boleh memberi kesan dalam sesebuah hubungan terutama dalam perkahwinan. Minggu ini dikongsikan kisah Shasha (bukan nama sebenar), yang diuji bersuamikan lelaki `nonchalant’, seorang yang bersikap santai, tenang dan nampak tidak terlalu peduli terhadap sesuatu keadaan.

Menurut Shasha yang ditemui baru-baru ini, walaupun tiada kata-kata kasar sepanjang perkahwinan mereka, sikap acuh tak acuh suami, Ramli, (bukan nama sebenar) membuatkan dia pernah terfikir untuk menamatkan sahaja hubungan.

Bukan kerana tidak ada cinta, tetapi terlalu lama berasa sendirian dalam hubungan yang sepatutnya dikongsi bersama. Menurut Shasha, orang selalu menyangka, rumah tangga yang bermasalah itu bila ada pergaduhan akibat orang ketiga, masalah kewangan dan sebagainya. Sebaliknya ,ada perkahwinan yang sunyi akibat suami terlalu nonchalant, seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

“Tahun-tahun pertama perkahwinan, saya berasa seperti hidup seorang diri. Hari demi hari bukan pergaduhan yang meretakkan hubungan, tetapi perasaan yang dipendam sendirian.

“Saya berasa tidak dihargai dan seolah-olah ada jurang dalam hubungan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Shasha, demi menyelamatkan rumah tangga, dia berusaha untuk memahami dan belajar menerima dengan hati terbuka. Bukan mudah, namun perlahan-lahan dia belajar bahawa tidak semua kasih sayang datang dengan cara yang diharapkan. Sambung ibu kepada tiga anak berusia lima, lapan dan 11 tahun ini, dia tidak berniat untuk membuka kisah rumah tangganya kepada sesiapa.

Namun apa yang dilalui katanya, memberi satu pengajaran dan kefahaman tentang perkahwinan.

“Kasih sayang bukan tentang bagaimana kita memberi, tetapi tentang bagaimana memahami cara pasangan menerima dan menunjukkannya. Ia tidak hadir dalam satu bentuk yang sama untuk semua orang. Perbezaan ini boleh menjadi jarak, jika tidak benar-benar difahami.

“Dalam usia perkahwinan lebih sedekad ini, saya masih lagi memujuk hati untuk bersangka baik. Walaupun suami tidak pandai menunjukkan kasih sayang melalui kata-kata atau emosi, tetapi di sisi lain, dia seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Menyambung cerita kata Shasha, dalam fikirannya dahulu, dia mengimpikan suami yang mengambil berat, romantik dan menunjukkan kasih sayang dengan kata-kata. Tetapi realitinya berbeza. Ramli seorang suami yang tidak banyak bercakap. Sentiasa tenang dan bersikap tidak ambil peduli dalam banyak perkara.

“Saya sering bercerita tentang apa yang saya lalui sepanjang hari. Tentang kepenatan bekerja, tentang apa yang membuatkan saya gembira atau sedih. Namun suami hanya memberi reaksi ringkas,” katanya.

Kata Shasha, jika dia diam, suamipun diam. Jika dia bersedih, suami tidak pandai memujuk. Menyingkap kisah di awal pertemuan, kata Shasha, dia dijodohkan dengan Ramli atas pilihan keluarga.

Pada pandangan kedua ibu bapa Shasha, Ramli memiliki ciri-ciri lengkap untuk menjadi suami dan bapa untuk sebuah keluarga. Bekerjaya, seorang yang tenang dan tidak banyak cakap.

Sambung Shasha, perkenalan mereka sangat singkat. Hanya tiga kali pertemuan yang diatur bersama keluarga. Perbualan mereka hanya berkisar tentang perkara asas, pekerjaan, keluarga, harapan dan masa depan.

“Pada awalnya saya cuba memujuk ibu dan ayah agar tidak meneruskan niat mereka. Saya cuba memberanikan diri untuk meluahkan saya belum bersedia untuk berumahtangga. Namun jawaban yang diterima tidak seperti diharapkan,” ujarnya.

Shasha akhirnya terpaksa akur. Di awal perkahwinan, kehidupan mereka kelihatan bahagia. Dia belajar menerima dan mencintai seseorang yang tidak pernah dikenali. Hari demi hari dia cuba menjadi isteri yang baik, mencukupkan apa yang kurang.

“Suami seorang yang bertanggungjawab namun sikap yang terlalu tenang dalam banyak perkara membuatkan saya rimas dan menyangka yang bukan-bukan,” katanya.

Sambung Shasha, selepas disahkan hamil anak pertama, dia mula memasuki fasa hidup berbeza. Kehamilan itu menjadikan Shasha lebih matang.

Dia perlahan-lahan cuba belajar menerima seorang suami yang bersikap nonchalant.

“Saya cuba untuk memahami tidak semua lelaki pandai menzahirkan kasih sayang dengan cara yang jelas. Perhatian yang ditagih selama ini daripada suami sendiri, saya cuba hentikan.

“Walaupun suami tidak romantik, saya belajar cinta itu hadir dengan cara yang berbeza,” ujarnya.

Menurut Shasha, hari-hari berlalu dia mula mengubah cara pandang terhadap kasih sayang dalam perkahwinan. Dia mula belajar untuk tidak hanya melihat apa yang kurang, tetapi menghargai apa yang masih ada.

Pertengahan Mei depan, genap 12 tahun usia perkahwinan Shasha dan Ramli. 12 tahun bukan tempoh yang singkat, tetapi cukup lama untuk Shasha belajar banyak perkara.

Dalam tempoh itu, dia bukan sahaja bertahan, tetapi belajar menerima dan memahami. Satu daripada pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Shasha dan Ramli adalah tentang bersangka baik dan memberi ruang untuk melihat kebaikan yang tersembunyi.

Sebagaimana Shasha yang menerima suami seadanya namun tidak mengabaikan emosi sendiri. Jika dia bersedih, dia luahkan dengan cara yang baik, jika dia terasa dia luahkan tanpa memendam.

Dia juga mula mendekatkan diri dengan Allah untuk mencari kekuatan dan tidak bergantung sepenuhnya pada reaksi suami. Sesungguhnya jodoh itu telah diatur oleh Allah sebagai tempat seseorang mencari ketenangan dan kasih sayang.

Sebagaimana Firman Allah SWT “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih sayang dan rahmat” – (Surah Ar-Rum ayat 21).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN