Setiap kali melangkah pulang dari sekolah, air mata Dr. Reshma Prakash, 34, pasti tumpah.
Bukan kerana lelah berjalan jauh, tetapi hatinya terluka dek ejekan, sindiran dan hinaan yang tidak berkesudahan.
Segalanya berpunca daripada statusnya sebagai anak yatim dan kehidupan yang serba kekurangan.
Lebih memilukan, anak bongsu daripada dua beradik ini tidak pernah menyambut hari lahir dengan memotong kek.
Hinggakan di majlis perkahwinannya, upacara itu turut ‘digugurkan’.

“Saya sudah lali diejek anak yatim miskin dan dianggap tidak layak bersekolah.
“Malah, saya pernah dimalukan di depan orang ramai ketika sambutan hari jadi saudara sekali gus membuatkan saya trauma untuk memotong kek.
“Walaupun kejadian buli itu sudah lama berlalu, tetapi parutnya tidak hilang dan masih berbekas dalam hati,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mendiang bapanya yang merupakan jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia ketika usianya sembilan bulan manakala kakak pula, tiga tahun.
Sejak itu, keluarganya dihimpit kemiskinan dan dipinggirkan masyarakat.
Di rumahnya tiada televisyen mahupun kenderaan, ke mana-mana hanya dengan berjalan kaki.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Reshma, sebaliknya, menjadi azimat untuk bangkit dan membina kehidupan lebih baik.
Anak jati Segamat, Johor ini berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan kini memiliki tiga klinik di samping sebuah pusat dialisis di negeri kelahirannya.
“Bagi saya kemiskinan hanya boleh diubah melalui pendidikan dan sejak itu saya berazam belajar bersungguh-sungguh hingga bergelar doktor,” katanya.
Beliau turut mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga di pentas ratu cantik, Mrs. Universe 2025, di Manila, Filipina baru-baru ini.

Rawatan percuma untuk anak yatim, OKU
Pengalaman hidupnya yang mencabar menjadikan Reshma lebih peka terhadap nasib anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).
Sehubungan itu, beliau menawarkan rawatan percuma kepada dua golongan berkenaan sebagai sumbangan kecilnya untuk meringankan beban mereka.
Perkhidmatan tersebut disediakan di setiap cawangan Klinik Keluarga dan Surgeri, yang diusahakan bersama suami tercinta, Dr. Raymond Rony, 43.
“Saya pernah berada dalam situasi mereka dan tahu keperitan yang dialami.
“Maka, saya berjanji tidak akan mengambil sebarang bayaran daripada pesakit anak yatim dan OKU,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mahu mengikut jejak langkah ibunya, Prema Narayanan, 62, yang membantu ramai pesakit dialisis tanpa mengenal erti penat.
“Ada pesakit yang meninggal dunia ketika menjalani dialisis dan emak memegang tangannya erat-erat hingga ke akhir hayat,” katanya.
Sebelum berkhidmat di pusat dialisis, ibunya pernah bekerja di kilang bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Perjalanan ratu cantik
Penyertaannya dalam pelbagai pertandingan ratu cantik bukan semata-mata kerana rupa paras atau keinginan untuk menang.
Sebaliknya, beliau mahu menyebarkan mesej kekuatan dan inspirasi kepada wanita di seluruh dunia terutama yang pernah dibuli.
“Menerusi platform ini, saya juga dapat berkenalan dengan ramai wanita hebat daripada pelbagai latar belakang.
“Salah seorang peserta pernah ditinggalkan suami ketika bertarung nyawa di dewan bersalin,” katanya.
Selain Mrs. Universe 2025, ibu kepada tiga cahaya mata berusia enam dan lapan tahun ini turut menyertai Mrs India Worldwide 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selepas ini, beliau bakal kembali ke pentas sama tetapi sebagai pengadil di samping membimbing peserta baharu yang akan mewakili Malaysia.

Masak untuk keluarga
Di sebalik kesibukannya, Reshma tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Setiap hari, beliau sendiri yang menyediakan hidangan keluarga termasuk menyuap anak-anak makan.
Malah, tugasan memandikan dan menidurkan si kecil juga turut dilakukannya dengan penuh kasih sayang.
“Walaupun jadual padat, saya tetap dapat menyelesaikan kesemua urusan itu setiap hari tanpa perlu tidur lewat.
“Formulanya mudah sahaja iaitu bangun awal dan disiplin dalam pengurusan masa,” katanya.
Jelitawan ini bersyukur kerana suami sentiasa menjadi tulang belakang membantu menguruskan keluarga dan menyokong minatnya dalam dunia ratu cantik.

Enam tahun pantang nasi
Berkongsi rahsia kejelitaan dan kesihatannya, Reshma mengakui sudah lebih enam tahun berpantang nasi.
Langkah itu diambil bagi mengatasi masalah perut kembung yang sering menyerangnya.
“Saya lebih banyak makan sumber protein seperti ayam, ikan dan daging, hanya sesekali sahaja ambil sedikit nasi,” katanya.
Selain menjaga pemakanan, beliau turut melakukan senaman ringan selama 30 minit setiap hari di rumah bagi mengekalkan kecergasan di samping berpuasa.










