Trauma lihat bapa diangkut Black Maria

Trauma lihat bapa diangkut Black Maria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kira-kira 27 tahun lalu, wanita ini menyaksikan sendiri detik bapanya, Saari Sungib ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibawa pergi menaiki Black Maria.

Peristiwa hitam itu bukan sekadar mengganggu emosi remaja Anfaal Saari, 46, malah meninggalkan trauma.

Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika ibu Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor ini dirawat di wad kerana komplikasi kehamilan, manakala adik-adik pula bersekolah.

“Lima orang polis sudah menunggu ayah di parkir hospital selepas kami selesai melawat emak dan mereka kemudian mengiringi kami pulang ke rumah di Ampang.

“Masa itu, saya satu-satunya anak yang ada bersama ayah. Rasa takut, panik semuanya bercampur apabila tengok dia dibawa pergi di depan mata,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Saari, 68, yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang dan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) menjadi tahanan ISA sebanyak dua kali.

Kali pertama pada 12 Oktober 1998 selama 15 hari diikuti pada 2001 hingga 2003 (dua tahun).

Sejak itu, kata Anfaal, kehidupan keluarganya berubah sepenuhnya.

Mereka terpaksa bergelut dalam pelbagai aspek demi memperjuangkan pembebasan bapa tercinta.

“Hidup kami tidak seperti keluarga lain, hujung minggu yang sepatutnya diisi dengan aktiviti riang bertukar menjadi rutin lawatan ke penjara.

“Emak yang dulunya suri rumah mula turun ke lapangan menyertai kempen pembebasan.

“Saya sendiri di usia remaja, pernah beberapa kali berucap dalam ceramah-ceramah tersebut, di samping menguruskan adik-adik dan segala keperluan rumah,” katanya.

Pengalaman getir itulah yang akhirnya menyuntik motivasinya untuk terlibat dalam dunia aktivisme dan kebajikan sebelum terjun ke arena politik sejak 2015.

Bermula dengan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Selayang dan Ampang Jaya, beliau kini bergelar ADUN Taman Templer serta Timbalan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah).

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi ahli perniagaan dan tidak pernah terlintas mahu ikut jejak ayah dalam politik.

“Tetapi saya terima tanggungjawab ini demi membawa perubahan untuk rakyat, membela nasib golongan susah, menaik taraf sosioekonomi, memartabatkan wanita dan memastikan akses pendidikan,” katanya.

Namun, beliau mengakui laluan awalnya tidak mudah apabila sering dibayangi nama bapa.

“Saya pernah dilabel menumpang ayah dan nepotisme, tetapi saya buktikan yang saya mampu berdiri atas merit sendiri.

“Antara pesanan awal ayah ketika saya mula menyertai politik ialah untuk berlaku adil,” katanya.

Rintis ekonomi penjagaan
Antara pencapaian Anfaal sepanjang menerajui portfolio Exco ialah pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan 2024-2030.

Ia sekali gus membolehkan Selangor muncul negeri pertama di Malaysia yang bersiap-siaga menghadapi status negeri menua.

Dasar yang dirangka secara inklusif itu merangkumi keperluan penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta pengukuhan peranan penjaga sama ada yang formal mahupun tidak formal.

“Ayah saya diuji dengan sakit Parkinson selepas bersara sebagai ADUN dan kami sekeluarga perlu bergilir-gilir memainkan peranan.

“Pengalaman itu membuka mata saya tentang cabaran sebenar dihadapi penjaga.

“Sebab itulah dasar ini dekat di hati saya kerana bermanfaat untuk ramai keluarga yang dalam situasi sama,” katanya.

Beliau turut komited untuk memperkasakan ekonomi wanita Selangor melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan dan bimbingan.

Usaha itu penting memandangkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh yang masih rendah iaitu 69.5 peratus, berbanding 80 peratus bagi lelaki.

“Dianggarkan hanya tujuh daripada 10 wanita di negeri ini yang bekerja dan menjana pendapatan sendiri .

“Malah, tinjauan turut mendapati yang ramai kaum hawa belum memiliki aset.

“Apabila ditanya, majoriti hanya menyebut telefon bimbit sebagai satu-satunya harta milik peribadi,” katanya.

Justeru, Anfaal percaya, pendidikan ialah kunci utama untuk mengeluarkan wanita daripada belenggu kemiskinan dan ketidakadilan.

“Apabila celik ilmu, mereka juga tahu hak-hak diri agar tidak mudah ditindas, ditipu mahupun dikasari,” katanya.

Rai detik penting anak
Walaupun jadual hariannya padat, Anfaal tetap berusaha meraikan momen-momen bermakna enam putera dan puterinya yang berusia enam hingga 23 tahun itu.

Katanya, kehadiran seorang ibu meskipun seketika, cukup besar maknanya dalam jiwa anak-anak.

Contohnya, ketika sambutan hari sukan, anugerah cemerlang mahupun majlis persembahan.

“Tugasan saya sememangnya mencabar dari segi masa bersama keluarga, tetapi saya bersyukur suami sentiasa memberikan sokongan padu.

“Sekalipun sibuk, saya akan pastikan komunikasi dengan anak-anak tidak terputus dan tahu setiap jadual serta pergerakan mereka,” katanya.

Malah, untuk anak bongsunya yang berusia enam tahun, beliau sering mencari ruang selepas waktu pejabat untuk membawanya bermain di taman.

Di sebalik penampilannya yang sopan dan tenang, Anfaal rupa-rupanya meminati aktiviti lasak.

Sudah empat bukit di sekitar DUN Taman Templer ditawannya dan menyasarkan untuk mendaki Gunung Kinabalu pula.

“Selain panjat gunung, saya saya juga suka berlakon dan menulis skrip. Dulu-dulu selepas tamat sekolah, saya pernah terlibat dalam pementasan untuk mengutip derma,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN