Bermula dengan sepasang baju kurung milik arwah ibunya, Haryati Nur Ibrahim, 49, mula mengenali dunia jahitan manik yang kini bukan sahaja menjadi hobi, malah kerjaya sepenuh masa serta sumber rezekinya sejak lebih sedekad lalu.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu mula mempelajari jahitan manik pada 2008 sebelum aktif menerima tempahan selain mengusahakan perniagaan manik dan bunga labuci.
Walaupun tidak meminati aktiviti menjahit sejak kecil, minat terhadap seni kraf mendorongnya untuk mendalami bidang tersebut sehingga berjaya menghasilkan pelbagai rekaan mengikut cita rasa.
Menurut Haryati Nur, arwah ibunya merupakan insan yang menjadi inspirasi awal untuk menceburi bidang jahitan manik.
Malah, jahitan manik pertama yang dihasilkannya bukanlah untuk dijual, sebaliknya dijahit pada sepasang baju kurung milik arwah ibunya.
“Saya sangat gembira apabila berjaya menyiapkannya sekali gus mencantikkan baju arwah emak,” katanya kepada Seri.
Kenangan itu menjadi titik permulaan yang mendorongnya untuk terus mendalami seni jahitan manik sehingga dijadikan kerjaya.

Sertai kursus
Bagi meningkatkan kemahiran, Haryati Nur menyertai kursus jahitan manik anjuran Utusan Malaysia di Port Dickson pada 2008.
Dia turut mengikuti kelas di sebuah butik di Senawang sebelum terus mengasah bakat secara sendiri melalui Facebook dan Instagram.
Menurutnya, cabaran terbesar ketika mula belajar bukanlah menguasai teknik jahitan, sebaliknya mencari idea untuk menghasilkan corak yang lebih menarik dan berbeza.
“Pada awalnya saya banyak berfikir bagaimana hendak menghasilkan rekaan yang cantik dan unik supaya hasilnya nampak lebih eksklusif,” katanya.
Dalam menghasilkan sesuatu rekaan, dia akan mencari inspirasi corak terlebih dahulu sebelum memilih jenis dan warna manik bersesuaian.
Antara peralatan asas yang digunakan ialah manik, jarum, benang, pen, pembaris dan pemotong.
Katanya, tempoh menyiapkan sesuatu rekaan bergantung kepada tahap kerumitan corak serta bahagian pakaian yang dijahit.
Rekaan ringkas seperti pada hujung lengan baju biasanya hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk disiapkan.
Namun, proses tersebut menjadi lebih mencabar apabila melibatkan bahagian badan baju, terutama baju batik, songket dan baju nikah kerana jahitan perlu disesuaikan dengan corak fabrik tanpa menjejaskan keindahan rekaan.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah memastikan jahitan kemas dan susunan manik kelihatan cantik supaya pelanggan berpuas hati dengan hasilnya,” ujarnya.

Jahit waktu pagi
Baginya, waktu pagi merupakan masa paling sesuai untuk menghasilkan jahitan manik kerana keadaan mata dan badan masih segar.
Ia sekali gus membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada setiap rekaan yang dihasilkan.
Idea dan inspirasi pula banyak diperoleh melalui media sosial yang sentiasa memaparkan pelbagai rekaan dan trend terkini.
Dia lebih gemar menghasilkan rekaan berwarna-warni dengan gabungan bunga labuci kerana memberi lebih banyak ruang untuk berkreativiti.
Setiap percubaan menggunakan kombinasi warna, saiz manik dan corak berbeza, membolehkannya menghasilkan rekaan yang lebih unik.
“Menjahit manik memberi ruang kepada saya untuk menjadi lebih kreatif. Saya suka mencuba pelbagai kombinasi warna dan corak supaya setiap rekaan mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.
Namun, tidak semua rekaan berjalan seperti yang dirancang.
Haryati Nur mengakui pernah rekaannya tidak menjadi.
Sebaliknya, dia memilih untuk berbincang dan mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan yang turut bergiat dalam bidang jahitan manik bagi menambah baik hasil kerja.
Baginya, perkara yang paling menyeronokkan ialah apabila sesuatu rekaan berjaya disiapkan dengan sempurna.
“Kepuasan terbesar saya ialah apabila orang suka dengan hasil kerja dan ia membuatkan saya lebih yakin untuk menghasilkan rekaan lebih eksklusif,” katanya.

Jana rezeki
Daripada sekadar mengisi masa lapang, akhirnya membuka pintu rezeki buat Haryati Nur apabila dia mula menerima tempahan jahitan manik secara sambilan pada 2008.
Melihat sambutan yang semakin menggalakkan, dia mengambil keputusan untuk menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya sepenuh masa bermula 2014.
Selain menerima tempahan jahitan manik, dia turut menjual pelbagai jenis manik dan bunga labuci untuk penggemar aktiviti DIY.
Menurutnya, cabaran utama dalam menghasilkan produk buatan tangan ialah memastikan setiap hasil sentiasa konsisten dari segi kualiti kerana setiap jahitan memerlukan ketelitian, kesabaran dan masa yang mencukupi.
“Saya hanya akan menyerahkan tempahan kepada pelanggan apabila saya sendiri benar-benar berpuas hati dengan rekaan dihasilkan,” katanya.
Selain menjana pendapatan, Haryati Nur mengakui aktiviti menjahit manik turut menjadi terapi yang membantu mengurangkan tekanan dan memberikan ketenangan.
Dia juga berasa sangat gembira setiap kali melihat pelanggan memakai hasil rekaannya kerana ia menjadi bukti bahawa hasil kerja tangannya dihargai.
Sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan turut menjadi pembakar semangat untuknya terus berkarya, manakala media sosial banyak membantu memperkenalkan hasil jahitannya kepada lebih ramai pelanggan.
Haryati Nur berharap dapat melahirkan lebih ramai pelapis dalam bidang jahitan manik melalui bengkel secara dalam talian dan bersemuka.
Dia juga berhasrat memiliki sebuah studio manik yang lebih teratur, selesa dan kondusif bagi mengembangkan lagi bakatnya.
Jahitan manik bukan sekadar hobi atau sumber pendapatan, sebaliknya, ia merupakan medium untuk mencari ketenangan, meningkatkan kreativiti, membina kesabaran serta memberi kepuasan apabila dapat menghasilkan sesuatu rekaan bernilai.










