HAMPIR setahun lamanya, suri rumah ini tekun bereksperimen di dapur untuk menghasilkan kek hari lahir istimewa buat anak saudara tunggal kesayangannya.
Sepanjang tempoh itu, Nur Syahira Aman Shah, 27, tidak jemu menelaah pelbagai buku masakan, menonton video tutorial dan mencuba puluhan versi.
Setiap satunya diolah dengan penuh teliti, agar hasilnya bukan sahaja enak di lidah, tetapi juga berkhasiat dan selamat untuk dinikmati si kecil.
Semangat dan kesungguhan itu didorong oleh keinginannya untuk mencipta momen paling manis sempena ulang tahun kelahiran pertama Malik Zaid.
Tambahan pula ketika itu, tiada kek khusus untuk bayi yang dijual di pasaran.
“Membuat kek memang hobi saya sejak di bangku sekolah, malah saya pernah membantu ibu menyiapkan tempahan pelanggan.
“Memandangkan ini kek pertama Malik, saya cabar diri untuk hasilkan sesuatu yang sedap dan menyihatkan,” katanya mengenang momen istimewa dua tahun lalu.

Bagi Nur Syahira, menghasilkan kek mesra bayi dan kanak-kanak bukan tugasan mudah kerana perlu menggunakan hanya bahan-bahan semula jadi iaitu tanpa gula, garam, telur, pewarna, madu dan sirap tiruan.
Namun, selepas berkali-kali melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), lulusan diploma kejuruteraan elektrik ini berjaya menemukan ramuan paling sesuai.
Antara bahan-bahan yang digunakan ialah susu penuh krim, keju krim, tepung gandum tanpa peluntur, minyak sayuran, mentega tulen tanpa garam, tepung jagung, allulose, serbuk penaik dan vanila.
Selain itu, ia turut mengandungi bahan istimewa iaitu puri epal tanpa gula buatan sendiri dan sirap kurma.
“Pada mulanya saya gunakan pisang sebagai pengganti gula, tetapi tidak begitu kena dengan citarasa orang Malaysia.
“Selepas itu, saya cuba pula gabungan epal dan kurma ajwa, barulah rasanya seimbang, manisnya seperti makan kek biasa,” jelasnya.

Menceritakan proses pembuatannya, kata Nur Syahira, epal perlu direbus selama 20 minit hingga empuk sebelum dikisar menjadi puri.
Proses sama dilakukan pada kurma ajwa dan walaupun ia rumit, tetapi hasilnya berbaloi apabila mendapat pujian ahli keluarga.
“Bila tengok Malik makan kek dengan gembira, hilang segala penat lelah saya bersengkang mata selama berbulan-bulan dalam mencipta resipi itu,” katanya yang masih belum memiliki cahaya mata.
Hobi bertukar rezeki
Teruja dengan kejayaan menghasilkan kek bayi pertamanya, Nur Syahira memuat naik beberapa keping gambar ke media sosial.
Siapa sangka, perkongsian ringkas itu tular hingga ramai yang menyatakan hasrat untuk menempah.
Daripada sekadar percubaan untuk anak saudara tersayang, bertukar menjadi titik tolak kepada rezeki baharu.
“Permintaan mula bertalu-talu dan ibu bapa yang selama ini mencari kek selamat untuk anak kecil mula menghantar mesej, bertanya dan memesan.
“Mereka mengaku tidak tahu buat kek sihat dan minta saya segera buka tempahan untuk sambutan hari lahir pertama anak masing-masing,” katanya.

Secara purata, Nur Syahira menerima antara 60 hingga 120 tempahan kek bayi bersaiz empat inci dalam sebulan.
Harganya bermula dari RM90 hingga RM125 bergantung kepada jenis hiasan.
Pelanggan juga boleh memilih bahan-bahan lain yang sesuai dengan diet anak mereka seperti bebas gluten, tenusu atau berasaskan tumbuhan.
“Sambutan memang di luar jangkaan dan saya tidak sangka seorang pelanggan dari Pulau Pinang sanggup datang ke Ampang semata-mata untuk mengambil kek anaknya,” katanya.

Didik makan sihat
Nur Syahira bersyukur kerana usaha kecilnya itu secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap pemakanan anak-anak.
Dia percaya, pendedahan terhadap makanan berkhasiat seharusnya bermula dari peringkat bayi lagi supaya dapat membina tabiat pemakanan yang baik hingga dewasa.
“Walaupun kek hari lahir simbol kegembiraan tetapi tidak semestinya ia perlu bergula dan memudaratkan kesihatan.
“Saya mahu ubah persepsi yang kek juga boleh dianggap sebagai menu sihat kalau kita pilih bahan yang betul,” katanya.
Nur Syahira seronok apabila pelanggan mula celik tentang bahan, khasiat dan prihatin terhadap diet anak-anak.

Lantas menguatkan lagi semangatnya untuk terus memberi inspirasi kepada lebih ramai ibu bapa agar menyediakan pilihan makanan berkhasiat buat anak-anak.
“Setiap kek yang dihasilkan bukan hanya untuk meraikan hari istimewa, tetapi juga sebagai langkah kecil ke arah gaya hidup lebih sihat untuk si manja dan seisi keluarga,” katanya.
Jadi pilihan dewasa
Keunikan kek Nur Syahira turut memikat hati golongan dewasa untuk menikmatinya terutama individu yang mahu berdiet dan berpenyakit.
“Sebenarnya kek ini sesuai untuk semua peringkat usia dan mereka boleh makan tanpa rasa bersalah perlu mengorbankan kesihatan.
“Sebelum ini, ada pelanggan yang menempahnya untuk suami yang berada di hospital akibat penyakit usus,” kongsinya.
Walaupun menerima sambutan hangat, namun Nur Syahira tidak berhasrat untuk membuka kedai.

Dia selesa berniaga kecil-kecilan dari rumah sambil dibantu suami, Muhammad Danial Firdaus Abdul Halim, 31, dan adik-beradik.
“Bagi saya membuat kek ini masih sebagai hobi untuk mengisi masa terluang di rumah.
“Rutin saya kini tidak lagi bosan atau sunyi jika suami keluar bekerja kerana dapat berinteraksi dengan pelanggan,” katanya.










