Konsep terbuka buat ruang kecil jadi lapang

Konsep terbuka buat ruang kecil jadi lapang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun memiliki rumah kurang daripada 1,000 kaki persegi, Juliana Rahayu Jemaat, 45, membuktikan kediaman kecil tetap boleh tampil selesa, kemas dan bergaya tanpa perlu berbelanja besar.

Baginya, cabaran utama menghias rumah bersaiz kompak ialah memastikan setiap sudut berfungsi sepenuhnya tanpa menjadikan ruang terasa sempit atau sesak.

Justeru, konsep ringkas dan praktikal menjadi tunjang utama dalam setiap keputusan, daripada pemilihan perabot hingga susun atur ruang.

Sebaik melangkah masuk, susun atur rumahnya memanjang memperlihatkan kesinambungan antara ruang tamu, ruang makan dan dapur.

“Tiada sekatan yang memisahkan ruang, sebaliknya ia dibiarkan selari agar rumah kelihatan lebih luas dan lapang,” katanya.

Di pintu masuk, Juliana Rahayu hanya meletakkan sebuah meja kecil ringkas, cukup untuk fungsi praktikal tanpa mengganggu laluan utama.

Laluan menuju ke bilik juga dibiarkan kosong kecuali sebuah cermin berdiri, berperanan sebagai elemen minimalis dan keperluan harian sebelum keluar rumah.

PILIHAN PERABOT, WARNA
Pemilihan perabot dibuat dengan pertimbangan teliti. Juliana Rahayu mengelakkan perabot besar dan berat, sebaliknya memilih rekaan ringkas dengan warna yang tidak terlalu menonjol.

Sofa pula dipilih yang boleh diubah menjadi katil, sesuai untuk bersantai menonton filem bersama keluarga atau dijadikan tempat tidur tetamu.

Menurutnya, perabot sebegini bukan sahaja menjimatkan ruang, malah memudahkan urusan mengemas selari dengan gaya hidup praktikal.

Dari segi warna, dia cenderung memilih tona gelap seperti coklat dan kelabu untuk perabot kerana lebih tahan kotor dan mudah dipadankan dengan warna lain.

Dinding pula dibiarkan cerah untuk mengimbangi tona gelap perabot, sekali gus menjadikan ruang tampak lebih terang.

Pencahayaan berona kekuningan dipilih untuk mewujudkan suasana nyaman dan menenangkan, sesuai dengan konsep rumah ringkas tetapi selesa.

Walaupun rumah menghadap matahari petang, Juliana Rahayu bijak mengawal cahaya dan haba menggunakan cermin tingkap berlapik gelap.

Setiap ruang mempunyai tingkap sendiri, termasuk ruang tamu dengan pintu gelangsar, membolehkan cahaya semula jadi masuk secukupnya tanpa menjadikan rumah terlalu panas.

BELI IKUT KEMAMPUAN
Menariknya, dia tidak terburu-buru melengkapkan hiasan rumah. Dia membeli sedikit demi sedikit mengikut keperluan dan kemampuan bajet.

Barangan keperluan didahulukan, sementara elemen hiasan dibeli ketika promosi atau dari kedai bajet seperti Eco Shop.

Baginya, yang penting adalah hasil akhir cantik dan memuaskan hati, bukan harga semata-mata.

Di dapur, Juliana Rahayu memilih kabinet penuh hingga ke siling bagi memaksimumkan ruang simpanan dan memastikan dapur kelihatan kemas.

Kabinet bertutup membantu menyembunyikan barangan dapur agar tidak berselerak. Bajet keseluruhan dapur termasuk kabinet dan kelengkapan tetap berada dalam lingkungan berpatutan, membuktikan perancangan rapi mampu menjimatkan kos.

Dengan pendekatan ringkas dan praktikal ini, Juliana Rahayu membuktikan rumah kecil tetap boleh bergaya, kemas, selesa dan penuh personaliti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN