Kewujudan Akta Antibuli 2026 (Akta 876) memberi sinar baharu dalam usaha membendung budaya buli yang semakin membimbangkan. Persoalannya, mampukah undang-undang ini benar-benar menghentikan jenayah tersebut atau sekadar menjadi satu lagi peraturan di atas kertas?
Harapan masyarakat pastinya tinggi. Setiap kali berlaku kes buli yang tular, rakyat menuntut tindakan lebih tegas terhadap pelaku. Ramai percaya hukuman yang lebih jelas mampu memberi pengajaran dan mengurangkan kejadian sama.
Namun, realitinya isu buli bukan semata-mata soal undang-undang. Ia berpunca daripada sikap, persekitaran dan budaya yang terbentuk sejak sekian lama.
Akta boleh menghukum pesalah selepas sesuatu kejadian berlaku. Tetapi matlamat sebenar ialah memastikan kes itu tidak berlaku sejak awal.
Justeru, penguatkuasaan menjadi faktor paling penting. Jika laporan lambat diambil tindakan atau mangsa takut tampil membuat aduan, kewujudan akta itu tidak akan memberi kesan yang diharapkan.
Sekolah juga perlu menjadi benteng pertama dalam mencegah buli. Setiap aduan mesti disiasat dengan segera tanpa menganggapnya sebagai pergaduhan biasa antara pelajar.
Guru turut memerlukan latihan untuk mengenal pasti tanda awal seseorang menjadi mangsa atau pembuli. Ada kalanya perubahan tingkah laku pelajar menjadi petunjuk sesuatu yang lebih serius sedang berlaku.
Peranan ibu bapa juga tidak boleh diketepikan. Pendidikan mengenai hormat-menghormati dan empati bermula di rumah sebelum anak melangkah ke sekolah.
Rakan sebaya turut memainkan peranan besar. Sikap memilih untuk berdiam diri hanya menyebabkan pembuli semakin berani kerana merasakan perbuatan mereka tidak akan dikenakan tindakan.
Buli juga tidak lagi berlaku secara bersemuka. Penghinaan, ugutan dan penyebaran aib melalui media sosial boleh memberi kesan emosi yang sama berat kepada mangsa.
Sebab itu, pelaksanaan Akta Antibuli 2026 perlu disokong dengan pendidikan, kaunseling dan kempen kesedaran yang berterusan. Hukuman semata-mata tidak cukup untuk mengubah budaya.
Mangsa pula perlu diberi keyakinan setiap laporan akan dilindungi dan disiasat secara adil. Mereka tidak seharusnya hidup dalam ketakutan atau dipersalahkan kerana menjadi mangsa.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










