Ramai melihat triathlon sebagai sukan lasak yang menuntut tahap ketahanan fizikal tinggi serta persediaan rapi yang mengambil masa berbulan-bulan, malah ada kalanya bertahun-tahun.
Gabungan tiga disiplin utama iaitu renang, berbasikal dan larian dalam satu perlumbaan turut dianggap sebagai cabaran yang sinonim dengan golongan lelaki kerana memerlukan kekuatan fizikal, daya tahan dan ketabahan mental luar biasa.
Namun, bagi Cempaka Edlin Mohd. Ridzwani, 23, persepsi itu tidak pernah menjadi penghalang untuknya sekali gus membuktikan wanita juga mempunyai keupayaan sama untuk mengharungi cabaran sejauh ratusan kilometer jika diberi peluang, sokongan dan keyakinan terhadap diri sendiri.
Menurutnya, penglibatan dalam dunia triathlon bermula sejak usia yang sangat muda apabila kedua-dua ibu bapanya aktif dalam sukan tersebut. Malah, mereka turut memberi galakan dan pendedahan awal dengan membawanya menyertai pelbagai kejohanan, termasuk IronKids, yang menjadi titik permulaan kepada minatnya dalam sukan berkenaan.
“Pada mulanya saya hanya melihat ibu bapa saya menjalani latihan dan menyertai pelbagai kejohanan. Lama-kelamaan, pengalaman itu menimbulkan minat untuk turut mencuba dan menyertai sukan tersebut.
“Malah, sejak kecil lagi saya sudah terbiasa melihat disiplin, pengorbanan dan semangat juang yang diperlukan untuk menamatkan sesuatu perlumbaan. Pengalaman itu secara tidak langsung membentuk pemahaman saya yang kejayaan dalam sukan bukanlah mudah untuk dicapai, kerana memerlukan komitmen, kesungguhan dan kerja keras berterusan,” katanya.
BERMULA DENGAN IRONKIDS
Ujar Cempaka Edlin, pada usia 15 tahun dia mula menyertai IronKids di Langkawi yang menjadi batu loncatan untuknya melangkah lebih jauh dalam dunia triathlon.
Walaupun penyertaannya ketika itu bertujuan mendapatkan pendedahan dan pengalaman awal, kejohanan tersebut menjadi titik penting yang membuka ruang untuk dia mengenali potensi diri serta mengukur kemampuan dalam sukan berkenaan.
Namun perjalanannya tidak berkembang secara langsung berikutan terikat dengan persekolahan dan pembelajaran sekali gus mengehadkan masanya untuk memberi komitmen kepada latihan yang konsisten.
Seperti kebanyakan remaja lain, Cempaka Edlin juga pernah melalui fasa apabila sukan bukan lagi menjadi keutamaan dalam hidupnya.
Tumpuan terhadap pelajaran di sekolah, ditambah pula dengan penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika itu, menyebabkan rutin latihan serta penyertaannya dalam kejohanan dan aktiviti sukan terpaksa diperlahankan buat sementara waktu.
Namun minat yang telah berakar sejak kecil tidak pernah hilang, selepas melanjutkan pengajian di universiti dia mula kembali aktif dengan berbasikal sebelum mengambil keputusan untuk mempelajari renang pada penghujung 2023.
“Selepas saya mendaftar untuk menyertai Ironman Desaru kategori Olympic Distance pada Oktober 2023, sebulan selepas itu saya mendaftar kelas berenang yang bagi saya ia agak mencabar tetapi saya boleh lakukannya,” ujarnya yang menyertai triathlon pertamanya pada bulan Mei 2024.
Pencapaian itu mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak, namun bagi Cempaka Edlin ia merupakan hasil gabungan disiplin, kesungguhan dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu selain turut membuktikan seseorang tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk bermula sebaliknya yang paling penting ialah kesediaan untuk mengambil langkah pertama.

JANTINA BUKAN ALASAN
Antara persoalan yang sering dibangkitkan masyarakat ialah kemampuan wanita untuk bersaing dalam sukan ketahanan seperti triathlon.
Masih ramai beranggapan acara yang melibatkan kayuhan sehingga 180 kilometer atau larian puluhan kilometer terlalu mencabar untuk disertai wanita, namun dia percaya tanggapan sedemikian telah lama wujud dan semakin berubah seiring dengan peningkatan penyertaan atlet wanita dalam sukan berkenaan.
“Saya akui sukan ini masih lagi didominasi oleh golongan lelaki namun sejak kebelakangan ini saya lihat ada perubahan positif terhadap peserta wanita apabila jumlah penglibatan semakin ramai setiap kali kejohanan diadakan.
“Malah, apabila saya kongsikan perjalanan saya menyertai sukan ini dalam sosial media semakin ramai mesej saya mengatakan mereka juga turut serta dan mendapat inspirasi apabila melihat video-video saya,” katanya.
DISIPLIN KUNCI KEJAYAAN
Menurut Cempaka Edlin, keperluan dirinya untuk mengimbangkan masa antara seorang pelajar ialah dengan mempunyai jadual harian yang tersusun dan mengikuti latihan yang konsisten setiap hari tanpa gagal.
“Saya berlatih setiap seawal 4 pagi dan waktu petang pula ke Stadium Bukit Jalil bagi mengikuti latihan larian. Pada pukul 8 malam, saya berlatih berenang selama dua jam,” kata pemegang Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Asia Pacific University ini.
Dalam usaha mengimbangi akademik dan disiplin dalam sukan secara serentak, dia akui terpaksa mengorbankan sebahagian besar masanya bersama-sama dengan rakan serta ahli keluarga bagi memastikan setiap sesi latihan dapat dilaksanakan mengikut perancangannya.
“Namun, ada hari saya akan berehat daripada latihan, biasanya pada hari Jumaat. Pada waktu inilah saya meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya akan keluar bertemu mereka kerana saya bukan seorang yang gemar menghabiskan masa di rumah menonton Netflix atau sekadar bersantai. Sebaliknya, saya lebih suka bersosial dan melakukan aktiviti di luar,” ujarnya.
Walaupun jadual hariannya padat, Cempaka Edlin menjelaskan ia sebenarnya fleksibel selagi dia kekal berdisiplin dan komited untuk menghadiri setiap sesi latihan yang telah dirancang.
Baginya, konsistensi adalah kunci utama kerana dia masih menyimpan cita-cita besar dan mahu terus meningkatkan prestasi bagi menghadapi kejohanan-kejohanan penting pada masa hadapan.

KELUARGA TONGGAK UTAMA
Ibu bapa menjadi tulang belakang utama sepanjang perjalanan Cempaka Edlin dalam dunia triathlon.
Selain memperkenalkannya kepada sukan itu sejak usia remaja, mereka juga sentiasa memberikan dorongan dan sokongan tidak berbelah bahagi, termasuk hadir dalam setiap kejohanan bagi memberi semangat serta menyaksikan perkembangan dirinya sebagai atlet.
Malah, ibu bapanya sentiasa memastikan dia mempunyai keperluan yang cukup untuk berlatih dan bertanding walaupun sukan ini melibatkan kos yang tinggi.
“Walau sejauh mana sekalipun lokasi kejohanan yang saya sertai, mereka akan tetap hadir untuk memberikan sokongan. Bagi saya, perkara itu amat mengharukan kerana kehadiran mereka sentiasa menjadi pembakar semangat dan memberi motivasi untuk saya memberikan yang terbaik serta menamatkan setiap acara dengan jayanya,” katanya.
Cempaka Edlin turut mempunyai kumpulan sokongan yang terdiri daripada rakan-rakan rapat yang sentiasa berada di sisinya sepanjang kejohanan berlangsung.
Mereka bukan sahaja menjadi sumber motivasi dan dorongan ketika berdepan cabaran perlumbaan, malah turut membantu menguruskan pelbagai persiapan sebelum acara bermula serta memastikan segala keperluan berjalan lancar sepanjang kejohanan.
TIDAK LUPA TUNTUTAN AGAMA
Walaupun aktif dalam sukan berintensiti tinggi, Cempaka Edlin menegaskan aspek kerohanian sentiasa menjadi keutamaan dalam kehidupannya. Menurutnya, menjaga kewajipan agama ketika menyertai latihan dan perlumbaan sememangnya memerlukan perancangan yang teliti, namun perkara itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Sekiranya cara tersebut bermula seawal subuh atau berlangsung sepanjang hari, saya akan merancang jadual ibadah saya dengan lebih awal dan mencari ruang yang sesuai untuk menunaikan solat kerana baginya cabaran dalam bersukan bukan alasan untuk meninggalkan tanggungjawab sebagai seorang muslimah,” katanya.
Prinsip tersebut turut menjadi sebahagian daripada identitinya sebagai atlet muda yang ingin membuktikan kecemerlangan dalam sukan dan pegangan agama boleh bergerak seiring.
Begitu juga dengan pemakaian sewaktu bersukan, dia menjelaskan pakaian tersebut dipilih berdasarkan faktor keselamatan dan kesesuaian.
“Penggunaan pakaian yang longgar ketika berbasikal atau berenang sebenarnya boleh mengundang banyak risiko keselamatan seperti tersangkut pada rantai basikal serta mengganggu pergerakan di dalam air,” katanya.
Pada masa sama, dia cuba mencari alternatif lain seperti mengenakan beberapa lapisan tambahan.
“Saya percaya setiap orang mempunyai pandangan dan kefahaman masing-masing, apa yang penting adalah kita sentiasa berusaha melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri.
“Saya berharap masyarakat dapat melihat triathlon sebagai sukan yang menguji ketahanan fizikal dan mental, serta memahami pemilihan pakaian atlet juga berkait rapat dengan aspek keselamatan dan prestasi,” katanya.

IMPIAN BESAR
Walaupun masih muda, Cempaka Edlin sudah memasang impian besar dalam dunia triathlon.
Sasaran utamanya adalah untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Ironman, yang dianggap antara pentas paling berprestij dan menjadi impian ramai atlet di seluruh dunia.
Dia juga berharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita muda untuk berani melangkah keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu.
Baginya, kejayaan tidak semestinya bermula dengan langkah besar, sebaliknya keberanian untuk memulakan langkah pertama serta kesanggupan untuk kekal konsisten adalah perkara yang paling penting.
Dalam dunia yang masih dipenuhi pelbagai stereotaip terhadap kemampuan wanita, Cempaka Edlin tampil membuktikan batasan tersebut boleh diatasi dengan disiplin, kerja keras, sokongan keluarga dan keyakinan terhadap diri sendiri.










